Minggu lepas sekolahku mengadakan program bersama "AADK". Nama program tersebut ialah "WARIS PINTAR". Antara aktiviti yang dijalankan ialah membuat poster, mewarna poster, mencipta slogan dan menulis karangan yang berkaitan dengan dadah. Nampaknya progranm itu dapat sambutan dan moga-moga murid dapat memahami objektifnya iaitu menjauhi diri dari najis itu.
Semasa perasmian penutupnya, pegawai "AADK" yang bernama Encik Abdullah bin Meli telah menyelitkan beberapa kisah masyarakat di dalam ucapannya. Antaranya ialah tentang seorang anak yang ketagihan dadah telah memusnahkan atap dan pintu rumahnya kerana tidak berjaya mendapat bekalan. Ibunya merayu kepada pihak AADK agar menahan anak sehingga lima atau enam tahun sedangkan masa sebenarnya hanyalah sekitar dua tahun.
Beliau juga menceritakan pengalamannya menjejak penagih yang tidak melapor diri ke AADK, apabila ditemui di rumah mangsa yang terlibat ternyata mereka semua adalah penghidap HIV+. Dalam tinjauannya juga, beliau mendapati kes yang melibatkan ayah dan anak, tiga beradik dan dua beradik adalah perkara yang biasa dalam penagihan atau pengedaran dadah atau yang sejenis dengannya. Tak kurang juga yang melibatkan anak-anak pegawai kerajaan terutamanya "guru".
Setelah mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh Encik Abdullah, kami guru-guru merasa takut dan bimbang dengan generasi seterusnya yang bakal kami hadapi. Semoga menjauhi anak-anakku dan anak-anak didikku serta seluruh umat dunia daripada najis itu. Amin.