(ENTRI INI TELAH DITULIS PADA 20 MAC 2011)
Semua insan pasti merasa sedih,
pilu, kecewa, marah dan sebagainya apabila sesuatu yang disayangi tiba-tiba
hilang dengan sekelip mata…walau apapun yang berlaku dalam kehidupan ini,
haruslah kita akur bahawa kehidupan dan kematian adalah sesuatu yang pasti dan
ianya hanya dipisahkan oleh sedetik waktu sahaja.
Aku juga ingin meluahkan rasa
sedih dan pilu yang bersarang di hati ini untuk tatapan semua…aku sangat sedih
apabila adikku yang tersayang telah dijemput olehNYA dalam suatu kemalangan
yang tidak disangka-sangka apabila kereta yang dipandunya telah berlanggar
dengan seekor kuda yang berlari dari arah yang bertentangan dengannya…dia
menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ juga dengan kalimah ALLAH…Dia
pergi dengan usia yang terlalu muda..apakan daya…ajalnya memang di situ. Kami
semua redha dengan pemergiannya dan kemalangan itu hanyalah sebagai penyebabnya
sahaja…kami pasrah pada takdir ilahi.
Memang sangat menyayatkan hati
dan menyedihkan hati kami seisi keluarga kerana kepulangannya sangat dinantikan
walaupun seketika cuma memandangkan ia bertugas jauh di luar negara. Bayangkanlah
perasaan seorang ibu yang menunggu kepulangan dengan lauk pauk serta kuih-muih
kesukaannya….betapa hancur luluh hati ibu kami..walau apapun ibu bapa kami
adalah orang yang sangat sabar dan tabah…bacaan ayat-ayat suci dari ibu dan
ayah serta kami semua berkumandang di sisi jenazah beliau berada di rumah ayah
dan ibu buat kali yang terakhir…
Berita pemergiannya itu telah
kami terima dengan hati sedih, kami adik beradik, ibu bapa, anak dan isterinya,
saudara mara, rakan sahabat serta semua yang mengenali dirinya bercucuran air
mata mengiringi pemergiannya menghadap ilahi.. Kepulangannya yang tak sempat disambut dengan jabatan tangannya yang mesra
serta pelukan rindu terhadapnya. Tapi kami iringi persemadiannya dengan
ayat-ayat suci serta doa semoga dia ditempatkan bersama dengan para syuhada’
dan solehin.
Benarlah ujian Allah itu maha
berat. Dan sesiapa yang dapat menerima dan menghadapi ujian itu adalah
orang-orang yang berjaya. Arwah adikku adalah seorang sangat peramah, periang,
pemurah, penyabar, prihatin dan berpendidikan agama dan dunia…beliau adalah
sinar…ibarat sebutir permata…penyejuk mata kami…membuatkan kami semua merasa
senang dengan kejayaannya, kebahagiaannya bersama anak dan isterinya…dan
keprihatinannya terhadap keluarga melebihi segala-galanya malahan mengatasi
kepentingan dirinya sendiri…dalam kegembiraan kami mengecapi kebahagiaan dengan
kejayaannya inilah Allah telah menguji kami seluruh keluarga dengan
pemergiannya..rupa-rupanya Allah ingin melihat sekuat mana kita…setakat mana
ketabahan kita…separas mana kepasrahan kita…sejauh mana keredhaan kita…setinggi
mana kesyukuran kita…sebanyak mana iman yang kita miliki….?
Lantaran ujian ini, menjadikan
aku manusia yang lebih bayak berfikir..mencari dan mencari..mengira dan
menghitung…apakah jasaku terhadap ibu bapa, sudah tertunaikah tanggungjawabku
sebagai anak, isteri dan ibu…apakah aku manusia yang sombong..adakah aku manusia
yang kedekut…sebanyak manakah amalanku yang baik-baik…apakah dosa-dosa yang
selalu aku lakukan…sebanyak mana lagi hutangku sesama manusia dan Allah
Taala…adakah aku sentiasa bersedia menghadapi saat-saat kematian yang telah
hampir atau pun jauh lagi…bermacam-macam lagi persoalan berselirat di dalam
pemikiran aku…mudah-mudahan aku menjadi insan yang sentiasa mengingati mati dan
bersiap sedia menghadapi kematian…
Tersirat banyak pengajaran dan
hikmah yang tersirat di sebalik pemergiannya ini..Terasa akan perasaan sayang
kami adik beradik menjadi lebih erat, lebih rapat…saling mengambil tahu dan
kepada ibu dan ayah aku rasa lebih menyayangi dan menghargai setiap detik waktu
aku bersamanya…aku teringat cerita ibu…arwah minta ibu menghalalkan semua makan
dan minum selama hayatnya bersama ibu ketika dia mengiringi ibu di lapangan
terbang Islamabad…ketika adalah adalah pertemuan terakhirnya dengan ibu dan
ayah serta adik bongsu kami yang melawatnya di sana kerana meraikan kehadiran
cahaya matanya yang kedua…walau ayatnya agak pelik namun pada waktu itu ibu
langsung tidak menyangka bahawa dia akan pergi meninggalkan kami buat
selama-lamanya…dan dia pergi genap tiga bulan selepas pertemuan itu…AL FATIHAH untukmu adikku sayang....
(pemergiannya pada 1 Mac 2011)