Tuesday, July 21, 2009

Lima Ceria (5C)

Sejak aku mula-mula masuk ngajar kat kelas 5C ni, macam-macam perangai pelik yang aku dah saksikan. Ada yang lucu yang amat dan ada yang sangat menyakitkan hati. Tapi sabarlah banyak-banyak...tenangkan fikiran agar darah tinggi tak naik.

Paling depan sekali di bahagian tengah terdapat seorang murid yang paling kecil. Ketinggiannya setakat pinggangku. Tinggiku hanyalah 159cm. Aku tak pasti berapa cm tingginya. Namanya Rasedi, nama yang ku panggil SEDI...orang kecil yang amat tapi suara macam Malik Noor...tadi nangis sampai tak boleh belajar sebab sakit gigi.

Di sebelah SEDI, ada Shafei. Orangnya juga kecil tetapi lebih tinggi daripada SEDI. Panggilan manjanya PIEN. Yang aku paling tak tahan dengan PEIN ialah hidung yang selalu berair. Kata kawanku yang sudah mengajar tujuh belas tahun di situ, sejak dia mengenali PEIN (pada usia enam tahun pada andaianku iaitu di kelas PRA) memang PEIN sudah berhingus dan sampai sekarang. Kawanku membuat andaian dan dia pernah melihat hingus itu telah beberapa kali memasuki mulut PEIN dan mungkin sudah tertelan. Dan pada sangkaanku juga mungkin bahagian otaknya telah dijangkiti kuman merebak ke saluran hidungnya.. Aku berhasrat untuk membawa PEIN berjumpa dengan doktor sekiranya diizinkan oleh ibu bapanya. Tetapi buat masa ini aku teramat sibuk....KIV dulu!

Di bahagian tepi dinding ada Yusri. Orangnya sangat pendiam dan pemalu serta tak tahu apa-apa. Tapi dia boleh menyalin dengan baik dan tulisannya sangat kemas. Dia tak pernah menyakitkan hati aku, tetapi bila aku tenung matanya dan melihat mukanya saling tak tumpah dengan watak IWAN dalam cerita toyol.com.

Di belakang Yusri ada Khairol. Dulu tangan Khairol penuh dengan kudis-kudis seperti kudis buta. Hampir dua minggu aku memberi krim pemberian mertuaku yang memang digunakan untuk merawat kulit yang gatal-gatal untuk disapu oleh Khairol pada tangannya. Setiap hari aku menasihatkan agar pergi berjumpa doktor bagi merawat penyakitnya. Tetapi dia hanya tersengih-sengih...tetapi sekarang aku lihat tangannya sudah sembuh barangkali ibubapanya telah membawa dia mendapatkan rawatan.

Di bahagian belakang (tengah) ada Zulkarnain. Rakannya memanggil NAIN KURAP. Aku memarahi rakan-rakannya yang memanggilnya seperti itu. Sungguh tak sopan gelaran itu, tetapi lama-kelamaan baru aku terperasan mukanya dipenuhi panau yang tebal dan belakang telinganya dipenuhi kurap yang telah berdebu-debu rupanya. Di dalam begku ada tujuh butir pil untuk panau (untuk Radhi anakku sebenarnya, tetapi panau Radhi di belakangnya telah hilang sama sekali dan aku terus lupa untuk memberikan pada Radhi) lalu pil itu aku berikan pada NAIN agar dapat membantu menghilangkan panau di mukanya yang handsome itu.

Dulu NAIN pernah memberitahuku bahawa ayahnya telah meniggal dunia dan aku pun memberikan namanya dalam senarai anak-anak yatim. Tetapi sebenarnya, ayahnya masih hidup cuma dia dikhabarkan oleh ibunya supaya memberitahu ayahnya telah meninggal jika ditanya orang. Ibu dan bapanya telah bercerai dan masing-masing telah berkahwin lain dan NAIN serta seorang abangnya yang juga muridku tinggal bersama neneknya yang hanya seorang tua yang pekerjaannya menanam tembakau di musim tembakau. Aku juga berhasrat untuk membawa NAIN berjumpa doktor kerana aku tahu neneknya sukar untuk membawa NAIN ke hospital atau klinik...tapi aku masih tak sempat, cuma aku berniat untuk membeli krim sapu untuk kurapnya dulu...

Dan ada banyak lagi kisah yang belum sempat dicoret mengenai anak-anak 5 Ceria ini....tunggulah sambungannya jika ada kelapangan.....

7 comments:

Nafastari said...

Saya sangat berbangga dengan anda dan usaha2 murni yang telah anda lakukan. Sekarang saya terfikir, kalaulah 50% pun daripada semua guru di Malaysia punyai mentaliti pendidik sepeti anda tentu Malaysia akan menjadi bertambah baik di 10 tahun akan datang.

Tapi saya rasa saya cuma boleh boleh bermimpi, sebab saya tahu tidak ramai yang bersedia untuk mempunyai mentaliti seperti itu. Ada seorang yang saya kenal, belum menjadi guru, tetapi masih di peringkat pengajian di sebuah institut perguruan, cuma selalu bercerita dan bercita-cita tentang hendak memiliki kereta dan segala selepas mula mengajar nanti, kira-kira 4 tahun lagi...

wan storm said...

Sudah lame aku envy sangat dengan keikhlasan cik gu kite ni, kalau lah kita ada ramai pendidik semacam ni nescaya makin ramai lagi anak bangsa kita terbela dari kemiskinan malarat di negeri kaya ini, keep up good works, you are my pride!

~::PermatA::~ said...

beruntungnya mereka...teringat zaman sek rendah dulu(darjah 1&2)...selalu kne tampar dengan cikgu Wan Latifah sebab dapat no last (no. 32)..@ mb dia tak suke kita...sebab kita tak pandai..

*Mawar Nafastari* said...

seronok baca cerita kamu.. kamu memang guru yang prihatin.. :)

WS Zuriati said...

tq semua...
kalau anda semua dapat melihat dari dalam jiwa ini, nescaya anda semua teringin jd anak didikku...

Kerana, aku amat-amat ingin menjadikan mereka semua insan yang kamil di dunia dan akhirat. Generasi akan datang pastinya ku isi dengan ilmu yang melebihi daripada apa yang aku miliki hari ini....

Kerana, aku tahu hidup tanpa ilmu sangatlah susah dan merana sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

WS Zuriati said...

Nafastari....
Tq. Awaklah sebenarnya orang paling memberi motivasi untuk saya. Kesungguhan dan ketabahan awak menjadikan saya semakin bermotivasi seperti sekarang kerana awak telah membuktikan bahawa anak kampung yang miskin seperti kita boleh berjaya...tidak salah kalau saya nyalakan semangat itu dalam diri anak-anak didik saya kerana sayangkan mereka semua seperti saya sayangkan kamu.

Wan Storm,
Saya masih ingat kamu memarahi saya kerana tidak lulus matematik, selepas saya langsung tidak mengambil subjek matematik dalam exam SPM saya, memang saya sangat bodoh ketika itu...saya harap awak tidak marah lagi pada saya sekarang kerana saya sanggup menukarkan sekolah anak saya gara-gara Matematiknya tidak lulus dan saya sanggup mencari guru yang bagus untuk Matematiknya...

Permata Soffhas,
Saya tidak pernah membenci atau memarahi anak didik saya hanya kerana dia tidak pandai, tetapi saya memarahinya kerana dia malas atau bersikap tidak baik. Tiada orang yang dilahirkan untuk terus jadi pandai. Semua orang mempunyai jalannya sendiri untuk meraih kejayaan, cuma dengan cepat atau lambat. Tq kerana menyinggah.

Mawar,
Tq kerana kamu membaca cerita saya.

wanahaf said...

hehehe. saya sepatutnya jadikan kamu sebagai cikgu contoh untuk saya mengajar suatu hari nanti. bagus2.