Friday, March 21, 2008

Seketika Di dalam Bas

Sekian lama aku tidak menaiki kenderaan awam untuk ke sesuatu tempat. Kira-kira sepuluh tahun lebih atau setelah aku mahir memandu sendirian. Tetapi pada hari ini hatiku tergerak untuk menaiki bas ke Kuala Terengganu di samping membiasakan anak aku dengan kenderaan awam. Sewaktu dalam perjalanan bersama anak sulungku, tiba di pertengahan jalan iaitu di Mengabang Panjang (Institut Latihan Perindustrian Petronas), bas yang aku naiki telah berhenti untuk mengambil penumpang yang terdiri daripada beberapa orang pelajar di institut itu. Lebih kurang lima belas orang pada anggaranku. Lima orang daripadanya berbangsa asing, aku tidak dapat meneka kerana rupanya hampir menyerupai wajah-wajah dari Benua Afrika.

Dua orang daripadanya duduk bersebelahan dengan tempat dudukku. Aku melihat bagaimana cara dia berkomunikasi dengan konduktor bas yang kami naiki. Agak susah juga untuk memahami bahasa yang digunakan, tetapi nasib baik konduktor bas itu boleh berbahasa Inggeris. Jadi konduktor bas itu menggunakan Bahasa Inggeris di samping mengunakan gerak isyarat tangan dan cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pelajar asing itu. Rupanya dia ingin turun di hadapan pasar besar Mydin K. Terengganu dan ingin membuat bayaran untuk tiga orang. Dia membayar dengan wang kertas RM50 kepada konduktor itu. Setelah menyerahkan wang bakinya konduktor itu bergerak ke arah penumpang lain Untuk membuat kutipan tambang yang seterusnya.
Setelah menerima wang bakinya aku melihat pelajar itu mengira-ngira wangnya. Lalu dia pun menunjukkan kepada kawannya dan bercakap-cakap dalam bahasanya tentang duit itu. Dia pun memanggil kawannya yang seorang lagi, yang tempat duduknya agak terkebelakang dari kami, dalam bahasanya juga dia memberitahu mengenai wang itu. Tiba-tiba konduktor itu datang semula ke arahnya dan menghulurkan sekeping wang kertas RM10 dan berkata "sorry". Fahamlah aku bahawa pelajar itu menerima wang baki yang tidak mencukupi.
Setelah sampai di bandar K. Terengganu, anakku memberitahu bahawa pelajar itu berasal dari Sudan dan anakku sempat berbual-bual dengannya. Rupanya anakku telah mendahului aku dalam mencari maklumat dan berkomunikasi dengan orang awam, tidak seperti aku yang masih tidak yakin untuk bertanya tentang sesuatu perkara walaupun perkara semudah itu... Sedangkan anakku baru berumur dua belas tahun dan belajar di tahun enam, sedangkan aku telah setahun bergelar MAHASISWA yang telah berusia...