Wednesday, August 5, 2009

Pisang berbuah dua kali....


Aku pernah menghadapi saat yang menakutkan dalam kerjayaku sebagai guru. Aku masih ingat tiga belas tahun yang lampau iaitu semasa mula-mula aku bertugas, aku pernah tercucuk lubang hidung seorang murid tahun satu hingga berdarah.

Aku tak tahu macam mana tiba-tiba dia tertunduk dan menyebabkan hidungnya tercucuk mata pensil yang berada di tanganku. Hidungnya berdarah, barangkali cucukan itu agak dalam. Aku panik seketika, aku mengelap darah hidungnya dengan tisu. Nasib baik darahnya tak banyak.

Aku langsung tak berniat nak mencederakan lubang hidungnya tapi aku rasa dia terkejut sebab aku meninggikan suaraku kerana dia membaca dengan suara yang sangat perlahan hingga tidak kedengaran di telingaku.. Bila balik rumah aku tutup pintu serapat-rapatnya sebab takut mak bapak dia datang menyerang aku.

Sampai tak lalu makan, dah lama masa tu tengah mengandung anak sulung. Rasa takut sangat nak sentuh pelajar-pelajarku selepas itu. Tetapi nasib baik la, dari hari ke hari, minggu ke minggu, sampai berbulan-bulan aku menunggu, mak bapak muridku itu tak datang-datang menemuiku… Selamat aku..syukur pada Allah kerana telah melindungi aku.

Tapi, hari ini terjadi lagi. Walaupun tak serupa tapi hampir sama. Aku cukup geram dengan muridku yang seorang ini. Namanya ROZAIMI dari kelas 5C. Dalam kelas dia tak banyak cakap tapi kerjanya…aduh menyakitkan hati. Comot dan tidak pernah siap. Tulisannya memang tak boleh dibaca kalau orang itu bukan gurunya…kalau orang itu gurunya, mungkin boleh meneka-neka apa perkataan yang ditulisnya.

Hari ini aku mengajar bacaan-bacaan dalam solat. Sesifiknya ialah bacaan ketika rukuk, “Subhaaanarabbialaziiimi wabihamdih”….. lebih kurangnya begitulah ejaan ruminya. Tapi dia menyebut “wabihandih” pada ayat di belakangnya. Aku telah membetulkannya berpuluh-puluh kali dalam masa satu jam. Bayangkanlah, teruk sangat ke nak tutup mulut pada perkataan mim yang bertanda mati itu….? Kalau dengan ayah aku dah lama kena ketuk kepala rasanya.

Tiba-tiba tanganku terasa ringan menampar pipinya.Prap…!!!. “Aduh sakitnya..” dia pun menangis meleleh-leleh air matanya. Aku rasa taklah kuat sangat pun tamparan itu kalau nak di bandingkan dengan tamparan-tamparan kecil sebelum ini. Rakan-rakannya yang lain pun melihatku dengan rasa tak puas hati. Seorang rakannya berkata padaku: “Ustazah, kenapa tampar dia..? tak tau ke gusi dia bengkak..?”. Aku terkejut. Sebenarnya aku pun dah macam nak menangis bila tengok dia menangis. Hanya tuhan saja yang tau dalam hati aku, betapa aku rasa bersalah padanya.

Aku jadi serba salah. “ La.., awak sakit gigi ke?” Tanyaku. “ Tak, gusi saya yang bengkak”. Aku menyuruh dia menganga mulut untuk memastikan gusinya tak berdarah. Tuhan menyelamatkan aku lagi. Gusinya memang tak berdarah. Aku pun meminta maaf daripada ROZAIMI kerana aku tak tau gusinya bengkak. Kiranya aku tahu…… Tapi sesungguhnya aku menamparnya bukan untuk menyakitkannya, tetapi untuk membetulkan kesalahan dalam bacaannya sahaja. Salahkah akuuuuu……..

Monday, August 3, 2009

Kena Jadi Polis



Setelah satu jam setengah berada di dalam kelas 5 Tekun (5T) suasana tidak boleh dikawal lagi. Mereka seolah-olah sudah tidak nampak lagi aku yang sedang meneliti buku latihan yang telah dihantar oleh sebahagian murid yang telah menyiapkan kerja di meja hadapan. Mereka bersorak-sorak dan bermain robot di belakang kelas.

Lalu aku bertempik sekuat hati aku: “DIAAAM!” Serentak dengan tempikan itu.…muncul seorang guru dari kelas sebelah pintu hadapan dan seorang lagi lagi dari pintu belakang. Mereka juga tersentak bila sempat melihat aku bertempik. Lalu kedua guru itu menghilangkan diri. Mereka menjengah kelas aku mungkin mereka fikir tiada guru ketika itu…

Aku pun memulakan syarahanku: “Mulai dari hari, kamu jangan panggil saya cikgu atau ustazah lagi. Saya tidak layak untuk menjadi guru atau ustazah kamu lagi kerana kamu semua sudah tidak menghormati saya sebagai guru kamu”. Dan bla…bla… panjang berjela-jela.

Suasana diam, aku menyambung semula semakan latihan muridku. Mereka diam kerana muka aku langsung tidak senyum lagi selepas itu. Tiba-tiba ada satu suara yang diajukan kepada aku.

“ Ustazah…kena jadi polis la pulak, sebab nanti senang nak tangkap murid-murid yang perangai jahat nih….” Dalam hati aku macam nak ketawa tapi aku tahan la.. Tergamak dia suruh aku jadi polis. Dia tak nampak ke aku yang aku tengah marah nih…aku tak memberikan respon apa-apa sebab sebenarnya aku macam nak ketawa jugak sebab nada dia tu macam kelakar sangat.

Begitulah rutin harianku dengan muridku. Kadang-kadang macam nak merajuk tetapi tak jadi merajuk sebab mereka tetap bertanya itu dan ini walaupun aku buat muka marah dan sebagainya….Jauh di sudut hatiku, mereka itu seolah anak-anakku sendiri. Marah dan rajukku hanya untuk sesaat cuma, selebih itu adalah hak kegembiraan dan kejayaan mereka.

Kelebihan yang menguntungkan...

Aku telah berbual-bual dengan seseorang mengenai kelebihan dan kekurangan. Lalu dia pun menceritakan tentang seorang kawannya yang mempunyai kelebihan dalam bercakap atau berucap.

Katanya: “ Kadang-kadang sesuatu yang ingin dikhabarkan atau diceritakan itu hanyalah sesuatu yang sangat ringkas dan mudah, tetapi punyalah panjangnya ucapannya berjela-jela. Manakala audien yang di hadapannya begitulah khusyuk mendengar, akhirnya barulah tersedar bahawa isi pentingnya sangatlah sedikit”

Katanya lagi: “ Kadang-kadang orang bercakap itu ibarat menggaul tepung, punyalah lamanya menggaul tepung itu menyebabkan kita mengcongak-congak dalam pemikiran kita tentang apa yang ingin dihasilkan dengan tepung itu. Akhirnya, barulah kita tahu bahawa apa yang dibuatnya iaitu roti canai atau donat dan sebagainya….”

Sebenarnya kelebihan-kelebihan yang sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu cepat dinaikkan pangkat atau dilantik untuk satu-satu jawatan dalam bidang kerjayanya. Senario inilah juga yang berlaku di kalangan rakan-rakan seperjuanganku yang tiba-tiba aku melihat dia menjadi Jurulatih Utama (JU) dalam satu-satu kursus yang dianjurkan oleh jabatan. Sedangkan dari segi kelulusan atau kekananan mahupun senoriti dalam tugasan jauh didahului oleh orang lain, namun kelebihan itulah yang menyebabkan dia terdahulu dinaikkan pangkat atau sebagainya.

Satu lagi kelebihan yang cepat untuk mendapat tempat di hati majikan atau pihak jabatan ialah kepandaian dalam ilmu ICT. Walaupun ramai orang yang boleh menggunakan kelebihan program ciptaan manusia ini, namun tidak ramai yang ingin mendalami atau menggunakan secara maksima dalam tugasan harian terutamanya para pendidik di sekolah kerana kadang-kadang ia tidak sesuai dengan masa yang agak singkat atau proses penyelanggaraan alatan yang agak rumit. Walaupun begitu ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mendalami ilmu-ilmu yang sebegini.

Kesimpulannya, dalam apa jua keadaan kita harus berusaha untuk mendalami tentang sesuatu perkara/ilmu yang baik demi untuk meningkatkan ilmu kita walaupun bukan untuk mendapat perhatian orang lain atau pun majikan kita sendiri.

Ps: (Seseorang itu ialah suami aku…..sebenarnya dia kagum dengan kawan dia yang dah naik pangkat sebab pandai berucap)