Sunday, November 9, 2008

Kecewa lagi......

7 hb 2008 aku boleh mula menyemak permohonan bertukar tempat kerja dari Kelantan ke Terengganu. Pagi itu, seorang kawan telah menghubungiku menyatakan kekecewaannya kerana permohonannya gagal lagi. Dia turut menyemak permohonanku, ternyata aku dan suamiku juga gagal lagi. Aku kecewa lagi.....

Tahun ini sudah masuk tahun kelapan aku bertugas di negeri Kelantan dan sebelumnya di Johor selama lima tahun. Aku telah memohon selama empat tahun berturut-turut untuk bertugas di negeri kelahiranku Terengganu dengan tujuan untuk menduduki rumahku yang telah siap dibina dua tahun tahun yang lalu, ingin tinggal berdekatan dengan kedua ibubapaku yang semakin uzur, ingin menjaga kebajikan dan kesihatan mereka setakat kemampuan yang ada...

Menurut maklumat dari seorang kawan, permohonan untuk masuk ke Terengganu hanya diterima seramai 7 orang dari seluruh negeri. Aku tak pasti maklumat ini tepat atau tidak. Menurutnya lagi, kesemuanya mendapat sokongan daripada Menteri Pelajaran sendiri......Wallahu a'lam. Tapi aku, usahkan menteri...wakil rakyat tempat aku pun tak pernah kulihat wajahnya... Alahai menteri......bilalah agaknya aku boleh berjumpa denganmu untuk mendapat sekeping surat sokongan darimu...

Kepada rakan-rakan pembaca blog ini, sudilah kiranya anda membantu diriku untuk mencari sedikit sokongan bagi meluluskan permohonan pertukaranku ini sekiranya anda mampu....terima kasih diucapkan kepada yang prihatin dan sesungguhnya tiada kuasa yang lebih agung melainkan kuasa Allah Taala jua.

Thursday, October 16, 2008

Assignment

Dalam kesibukan ini, ada 3 assignment yang belum siap sebenarnya. Nak kata tak buat langsung tu taklah jugak. Tapi kalau taip sehelai tu kira dah start buat la. Tapi bahan-bahan tu adalah sikit-sikit yang sempat search malam tadi. Ni nak start buat la tp mata pulak rasa mengantuk. Tapi kalau kalau bukak blog rasa segar sikit. Tak tulis blog pun tak pe. Tengok blog adik-adik dan kakak-kakak yang kreatif tu pun kadang-kadang dapat idea nak buat assignment.

Tarikh hantar 25 okt. Maknanya ada dalam 8 hari lagi. Jadi 1 assignment kena siap dalam masa 3 atau 2 hari. Sempat ke??? Tapi orang tua belajar memang macam ni. Semua kerja memang suka buat last minit. Pastu pergi tutorial mulalah mengada-ngada mintak tangguh seminggu dua lagi. Tapi pensyarah kami pun taklah guna kuasa veto sangat. Kadang-kadang boleh je tangguh.. Harap-harapnya kali ni pun gitulah ye...

Sukan Tahunan

Hari ini berakhirnya sukan yang diadakan selama dua hari di sekolahku. Walaupun badanku terasa letih yang teramat tapi aku bangga kerana pasukanku memang selalunya menjadi johan. Nampaknya ada orang nak sabotaj aku tahun ni. Tapi tak pe, tuhan selalu bersama dengan orang-orang yang benar.

Tahun lepas aku memimpin rumah biru, dua tahun berturut-turut rumahku menjadi johan. Alih-alih tahun ni pindah pulak ke rumah hijau. Aku macam tak puas hati jugak sebab ketua rumah biru sangat sporting dengan aku. Dia orang cakap ustazah memang kena jaga rumah hijau...aku senyum saja kerana dah faham dengan sindirin itu. Aku tak cakap apa-apa tentang perubahan warna itu. Dalam hati aku berdoa je, minta Allah berikan kemenangan kepada anak-anak buahku.

Hari ini, telah terbukti. Rumah hijau menjadi juara keseluruhan dengan 10 mata di hadapan meninggalkan rumah yang lain...Aku tersenyum puas. Berbaloi jugak penat aku dengan menyediakan ntah berapa tong air untuk pasukanku, memandangkan sekarang musim yang panas yang terik.. Ada jugak pasukan yang bertelagah kerana tak menjaga pasukannya dengan baik dan menghentam pengadil yang tidak adil. Adat bertanding memang begitu. Tahniah kepada pasukan yang menang dan yang kalah tahun depan kena berusaha dengan lebih gigih. Apa yang penting, kita mesti redha dengan segala keputusan dan jangan mendabik dada kalau kita menang.

Tuesday, October 14, 2008

Jiranku

Aku tak faham kenapa jiran di hadapan rumah sewaku ini suka sangat membuat aktiviti yang membingitkan telinga di waktu malam. Kadang-kadang aktivitinya bermula sebelum maghrib, kadang-kadang seiring dengan alunan azan maghrib dan kadang-kadang setelah aku masuk tidur.

Antara aktivitinya ialah yang paling digemari ialah menebas semak samun di tepi rumahnya. Aku tak kisahlah dengan aktiviti yang baik ini walaupun dilakukan ketika maghrib kerana ianya taklah bising sangat kecuali suara mak cik itu yang suka memanggil-manggil anak dan menantunya supaya menolong. Pak cik itu pulak suka membaiki apa-apa yang rosak dengan menggunakan tukul seperti memaku dinding, zink, papan dan sebagainya. Tapi yang paling aku tak puas hati, anaknya itu suka membaiki kereta dan menekan minyak dengan sekuat-kuat hatinya tanpa memikirkan orang lain walaupun jam 12 tengah malam. Kalau sekali aku boleh maafkan tetapi kalau sampai anak-anak kecil jiranku yang lain pun turut terjaga dan menangis-nangis kerana terkejut, aku rasa itu sudah melampau.

Pernah sesekali aku terasa ingin menegur perbuatannya, tetapi bimbang tidak diterima dan mengeruhkan suasana. Sebenarnya aku pun taklah rapat sangat dengannya memandangkan keadaan kami semua yang bekerja dan hujung minggu pulak memang semuanya pulang ke kampung...Aku hanya berdoa agar mereka sekeluarga dapat mengubah cara mereka bekerja dan tidak mengganggu malam-malam yang tenang bagi orang lain....

Saturday, September 6, 2008

Rezeki Ramadhan

Salam Ramadhan buat semua kawan-kawan dan pembaca... ternyata Ramadhan kali sangat bermakna dalam kehidupanku kerana di saat -saat menanti kehadirannya, aku bakal menerima cahaya mata yang ketiga setelah hampir enam tahun menunggu. Mungkin inilah yang dikatakan sebagi rezeki Ramadhan. Ternyata ada sedikit keletihan dalam mengharungi malam-malam Ramadhan kali ini...walau apapun, alhamdulillah syukur pada Ilahi kerana aku dapat menjalani ibadah ini dengan sempurna dan mengerjakan solat terawih setakat kemampuan yang ada.

Tempahan jahitan langsung tidak diterima pada kali ini kerana kesibukan menghadapi tugas-tugas di sekolah menjelang peperiksaan UPSR yang akan bermula pada 9,10 dan 11 sept ini. Walaupun begitu terpaksa juga menerima tempahan beberapa pasang baju kurung anak kawan-kawan yang pernah menjadi pelanggan tetapku. Harap-harap sempatlah siap sebelum hari raya nanti.

Sepanjang seminggu Ramadhan ini juga aku tidak memasak lagi untuk juadah berbuka dan bersahur melainkan pada hari cuti jumaat dan sabtu ini sahaja kerana pulang ke kampung dan menjadi bersemangat secara tiba-tiba untuk memasak Laksa Penang pada hari khamis dan memasak bubur lambuk pada hari jumaat, mungkin kekuatan itu timbul kerana ramai-ramai berkumpul di rumah ibu di kampung.

Doaku pada semua pembaca, rakan-rakan dan sahabat handai, semoga kalian semua dapat menjalani ibadat puasa ini dengan penuh ketabahan dan keinsafan. Anggaplah Ramadhan ini kali yang terakhir untuk kita kerana Ramadhan tahun hadapan belum tentu milik kita...

Wednesday, August 13, 2008

DERMA IKHLAS

Dua hari yang lalu telah berlaku satu peristiwa yang aku tak pasti samada pukau atau terpedaya. Sedang aku duduk ralit berbual-bual mengenai jawapan murid-murid dalam ujian bulanan yang sedang dijalankan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu salam dari seseorang yang asing. Memang dia orang asing pun. Mukanya macam Arab/Pakistan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Haji Abbas yang baru pulang mengerjakan haji dan umrah dari Mekkah. Dia menghulurkan dua cenderhati setiap seorang. Hadiah dari tanah Mekkah katanya. Hadiah itu berbentuk tulisan ayat suci di atas daun kayu koka (aku tak pasti nama sebenarnya tapi itulah nama pokok kayu yang digunakan untuk membina bahtera nabi Nuh A.S) dan CD hiasan. Katanya lagi, ayat quran tak boleh dijual, haram....haram...!

Kami berempat semuanya menerima hadiah itu tanpa ragu-ragu. Setelah itu dia memberitahu tujuannya ialah untuk meminta derma bagi membantu maahad tahfiz dan juga rumah anak-anak yatim di Pakistan. Kami semua pun terus mengambil dompet masing-masing untuk mengeluarkan derma kepadanya. Kebetulan dalam dompetku hanya terdapat sekeping not RM50 dan beberapa keping not RM1. Lantas aku mengira-ngira untuk menghulurkan RM5 kepadanya. Seorang rakanku menghulurkan sekeping RM10 kepadanya, tetapi dia memohon agar memberi RM20 kepadanya. Tanpa bersoaljawab rakanku mencukupkan RM20 dan menghulurkan kepadanya.

Hatiku menjadi gelabah dengan suasana itu, aku seperti ingin mempersoalkannya, tetapi kawanku seorang terlebih dahulu berkata kepadanya: " Tadi kata derma ikhlas, tapi kenapa mintak RM20?", dia pun berkata "I can't speak malay". Memang bahasanya agak bercampur-campur antara arab, inggeris dan melayu tapi aku tak pasti samada bohong atau buat-buat tak faham tentang soalan rakanku itu. Tapi rakanku itu juga menghulurkan RM20 kepadanya tanpa bertanya apa-apa lagi. Diikuti oleh rakanku yang ketiga dan seterusnya aku (aku terpaksa meminjam wang daripada tabung muridku untuk mencukupkan RM20. Sebenarnya di sudut hatiku macam nak bertanya lagi tetapi memandangkan ketiga-tiga rakanku menghulurkan wang tanpa banyak soal jadi niatku terpendam begitu sahaja.

Setelah menerima duit daripada kami, dia pun membacakan doa untuk kami semua dan kami pun menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakannya.

Setelah orang itu beredar, rakanku bertanya padaku: "Kak Zu, kita dah kena pukau ke?"

Aku menjawab: "Ntah, rasanya macam tidak. Tapi kenapa kita tak persoalkan dia tadi hah?"

"Biasanya Kak Zu kan suka cakap banyak, tapi kenapa tadi Kak Zu diam je?"

"Aku nak tanya banyak-banyak nanti aku takut korang cakap aku berkira-kira pulak nak hulur derma" Jawabku selamba. Tapi dalam hati aku macam tak sedap rasa.

Sebelum balik pada hari itu, rakanku datang berjumpa aku dan menceritakan bahawa orang itu adalah penipu dan ramai rakan-rakan yang berada di bilik-bilik yang lain pun terkena dengannya. Tetapi kebanyakannya RM10 sahaja sebab mereka hanya ambil satu hadiah. Yang mengesahkan orang itu menipu ialah kerana dia makan dengan sebanyak-banyaknya di kantin dan siap bungkus air dan nasi dengan lauk yang banyak juga tanpa memberitahu apa-apa pada tuan kantin dan menyebut "halal..halal..halal..." dan terus pergi.

Setelah pulang ke rumah, aku menceritakan peristiwa itu kepada suami. Rupanya orang itu pergi ke sekolahnya tetapi nasib baik tiada orang yang melayannya kerana masing-masing telah diingatkan oleh guru besarnya akan penipuan-penipuan seperti itu.

Aku masih berharap agar dia bukan seorang penipu dan moga-moga dermaku yang sedikit itu benar-benar memberi manafaat kepada orang yang memerlukan....

Monday, August 4, 2008

Laga Ayam dan Tomoi

Ponteng sekolah merupakan masalah yang besar kepada murid-murid di dalam kelasku dan mungkin akan menjadi masalah jugak pada negara di masa hadapan. Tetapi apa yang paling aku tak puas hati ialah dia tak datang ke sekolah kerana pergi main laga-laga ayam dan letih kerana berlatih tomoi pada malam harinya.

Cuba kita fikir-fikir dan renungkan bersama, patutkah seorang anak yang berusia 12 tahun ke bawah dibiarkan oleh ibu bapa untuk berlatih tomoi atau menyaksikan latihan tomoi bersama-sama dengan orang-orang dewasa pada waktu malam atau siang (biasanya waktu malam). Patutkah seorang anak juga dibiarkan oleh ibu bapanya untuk bermain laga-laga ayam sehingga sanggup mencuri dan menyembelih ayam yang dicuri, memanggangnya serta dimakan beramai-ramai?

Aku sendiri tak tahu dan tak pasti di mana punca kesilapan sehingga perkara-perkara yang tidak bermaruah serta mencemar nama baik agama, masyarakat dan keluarga mereka tercemar dengan sebegini rupa. Kalau di sekolah, sudah puas aku memberi nasihat secara lembut, rotanlogi, psiokologi dan macam-macam cara lagi. Kadang-kadang satu jam masa P&P aku terpaksa habiskan dengan memberi tazkirah. Serbuan ke rumah murid yang tidak hadir juga pernah aku buat, tetapi hasilnya tidak begitu memberangsangkan.

Sesekali aku fikir, mungkin ibu bapa mereka tidak tegas dan tidak garang seperti ibu bapaku. Mungkin juga ibu bapa mereka tidak tahu bahawa hanya ilmu pengetahuan sahaja yang dapat menyelamatkan anak mereka di dunia dan akhirat.

Monday, July 28, 2008

Dadah Musuh Negara

Minggu lepas sekolahku mengadakan program bersama "AADK". Nama program tersebut ialah "WARIS PINTAR". Antara aktiviti yang dijalankan ialah membuat poster, mewarna poster, mencipta slogan dan menulis karangan yang berkaitan dengan dadah. Nampaknya progranm itu dapat sambutan dan moga-moga murid dapat memahami objektifnya iaitu menjauhi diri dari najis itu.

Semasa perasmian penutupnya, pegawai "AADK" yang bernama Encik Abdullah bin Meli telah menyelitkan beberapa kisah masyarakat di dalam ucapannya. Antaranya ialah tentang seorang anak yang ketagihan dadah telah memusnahkan atap dan pintu rumahnya kerana tidak berjaya mendapat bekalan. Ibunya merayu kepada pihak AADK agar menahan anak sehingga lima atau enam tahun sedangkan masa sebenarnya hanyalah sekitar dua tahun.

Beliau juga menceritakan pengalamannya menjejak penagih yang tidak melapor diri ke AADK, apabila ditemui di rumah mangsa yang terlibat ternyata mereka semua adalah penghidap HIV+. Dalam tinjauannya juga, beliau mendapati kes yang melibatkan ayah dan anak, tiga beradik dan dua beradik adalah perkara yang biasa dalam penagihan atau pengedaran dadah atau yang sejenis dengannya. Tak kurang juga yang melibatkan anak-anak pegawai kerajaan terutamanya "guru".

Setelah mendengar kisah-kisah yang diceritakan oleh Encik Abdullah, kami guru-guru merasa takut dan bimbang dengan generasi seterusnya yang bakal kami hadapi. Semoga menjauhi anak-anakku dan anak-anak didikku serta seluruh umat dunia daripada najis itu. Amin.

Saturday, July 26, 2008

Motor Buruk dan Hadiah

Pada suatu petang, suamikku membawa sebuah motorsikal yang sudah buruk dengan nombor pendaftarannya DD**** pulang ke rumah dan menyimpan di bahagian dapur.
"Motor sape nih" tanyaku.
"Motor Abe (loghat kelatenya) lah" Jawabnya.
"Berapa harganya?" Tanyaku.
"Enam ratus" Jawabnya ringkas.
Aku terkejut sungguh dengan tindakannya. Rasa seakan nak membebel, tapi mengenangkan pada malam itu kami ingin menghadiri kenduri di rumah neneknya di Pulau Gajah, Peng. Chepa, jadi aku tidak meneruskan niatku. Aku tahu apa akan jadi dengan dia dan aku setelah aku membebel...
Dalam perjalanan pulang dari Pulau Gajah, aku bersuara lagi mengenai motorsikal buruk itu.
"Sampai hati abang beli motor buruk tu. Sepatah pun tak cakap dengan kita" kataku macam merajuk.
"Kalau abe royat, mesti tak boleh beli" Jawabnya.
"Ye lah, kalau dah beli motor buruk memanglah marah, kalau beli yang baru memang tak marah" balasku.
"Nak buat apa yang baru, kan dah ada tu.." Jawabnya.
"Tapi kalau umi nak beli tupperware, abang mesti pesan jangan beli sebab tupperware sebab harganya mahal. Umi tak beli sebab dengar nasihat abang" Aku memulangkan paku buah keras padanya.
"Dah, bo (kena berenti) cakap pasal tu lagi, abe dah pesan dengan cikgu kat sekolah suruh bawak kain baju yang tak payah basuh untuk umi esok" Katanya nak menutup kemarahanku.
"Amboi, buang tabiat ke?" Jawabku.. Dia pun diam, aku pun diam sehingga sampai ke rumahku.
Tadi, setelah pulang dari menjawab soalan peperiksaan, aku terpandang bungkusan hadiah yang cantik di dalam sebuah kotak yang comel, diikat dengan riben organza dan dihiasi dengan sekuntuk bunga rama-rama. Aku fikir itu hadiah untuk guru-guru sekolahnya atau kakitangan sekolah yang akan berkahwin pada musim cuti sekolah nanti. Tiba-tiba dia mengambil hadiah itu dan memberikan padaku. " Nih, untuk umi" Katanya.
"Betul ke".. " Betullah".
"kenapa lawa sangat kotak ni, membazir ni" Kataku.
"Alah..bukannya sokmo, dah berbelas-belas tahun, abe tak pernah bagi apa-apa pun kat umi" Katanya.
Aku terharu jugak, tapi tak tunjuklah sangat.. aku membuka bungkusan tersebut dan melihat dua pasang kain yang sungguh cantik pada pandanganku. " Yang hijau tu tak boleh basuh, kena dry cleaning harganya dua ratus, yang merah tu seratus" Katanya...Aku sungguh terkejut dan tak menyangka dia sanggup membeli kain itu untukku. Aku memang tak pernah beli kain yang mahal, paling mahal bajuku ialah seragam sekolah. Itu pun sebab wajib beli, harganya dua ratus tapi pihak sekolah bayar seratus dan aku bayar seratus. Bimbang pulak jadinya aku..ntah..ntah ada apa-apa kut...mintak Allah jauhkan daripada segala keburukan.

Wednesday, July 23, 2008

Result MUET

Keputusan MUET.


Listening 33/45

Speaking 12/45

Reading 46/135

Writing 20/75


Aggeragated score 111/300


Band Achieved: 2


Sepatah kata rakanku.. Hang bisu ke masa speaking test ari tu?
Walau apapun, aku dah cukup bahagia dengan keputusan itu kerana pihak universiti yang aku belajar tu nak band 2 je.. Cukup-cukup makan. Tak mahu ulangi lagi test yang mengerikan itu... Kalau dulu nak band 3, tapi ramai yang tak boleh konvo disebabkan muet, so tahapnya diturunkan ke band 2... Syukur Alhamdulillah.

Monday, July 21, 2008

Mengumpat

Perempuan sering dikaitkan dengan perangainya yang suka mengumpat...kadang-kadang terasa macam terkena batang hidung sendiri bila mendengar atau membaca sedutan-sedutan mengenai hukum mengumpat di saluran-saluran media yang terdapat di sekeliling kita.
Pagi tadi, semasa menghadiri mesyuarat "Kecemerlangan UPSR" di sekolahku, terjadi suatu peristiwa yang termasuk dalam kategori mengumpat. Pada mesyuarat itu terdapat sedikit percanggahan mengenai cara perlaksanaannya..biasalah...kalau dah ramai yang menyuarakan pendapat pastinya pengerusi akan memilih satu cara yang terbaik. Ternyata rakan sebelahku seperti tidak dapat menerima keputusan yang dipilih oleh pengerusi. Aku menyatakan reaksi rakan yang tidak bersetuju itu (sebelah kanan) kepada rakanku yang di sebelah kiri dalam bentuk tulisan...kata-katanya tidaklah teruk sangat, tetapi aku memang mengumpat dia.
Tuhan itu sangat adil, tulisan yang aku tulis itu tidak pulak kusimpan tetapi dibiarkan saja di hadapanku. Lalu tuan empunya badan membacanya. Aku tertelan air liur, tapi nasib baiklah aku pandai menyusun kata-kata padanya bagi menerangkan maksud kata-kata pada kertas itu.. kebetulan pulak sikap rakanku itu terlalu lurus dan langsung tidak pandai berkias, maka dia menerima ceritaku dengan baik. Dalam hati aku, hanya tuhan yang tahu betapa aku bimbang akan penerimaannya terhadapku selepas itu..
Rakan yang di sebelah kiriku tahu akan peristiwa itu. Semasa menuruni tangga setelah tamatnya mesyuarat itu, dia ketawakan aku sampai terkeluar air mata...Dalam hatiku, Allah memberikan ganjaran yang setimpal atas perbuatanku. Terasa ingin meminta maaf daripada rakanku itu, tetapi isunya aku telah terangkan dengan jelas dan dia menerima kata-kataku.. Perlukah aku meminta maaf lagi....? Ya Allah ampunilah dosa aku...

Gula-gula getah dan sekolah tadika

Gula-gula getah dan sekolah tadika…


Pada suatu hari, Nurah (anak penulis) yang berumur lima tahun telah mengadu kepada penulis, mengenai rambutnya yang sukar untuk disikat. Lalu penulis cuba menolongnya untuk menyikat rambut, tetapi alangkah terkejutnya kerana terdapat sisa gula-gula getah pada hujung rambut Nurah.

Lantas Nurah bercerita mengenai kawan-kawannya yang sama-sama belajar di sekolah tadika iaitu Abu Zabir dan Syawari telah meletakkan gula-gula getah itu di atas kepalanya. Ceritanya lagi, cikgunya juga berusaha membuang sisa-sisa gula getah itu tetapi mungkin terlampau banyak melekat sehingga masih tertinggal lagi sebahagian kecilnya..

Ternyata sisa gula-gula getah itu sangat sukar untuk ditanggalkan, tambahan pula telah merosakkan sebahagian kecil hujung rambut Nurah yang sememangnya halus. Penulis terpaksa memotong sedikit hujung rambut tersebut untuk membuang sisa gula-gula getah itu.

Pada hemat penulis, para ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak membawa sebarang bentuk makanan atau barang permainan yang boleh membawa kekotoran, bahaya dan sebagainya ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak. Tambahan pula kanak-kanak tadika seusia Abu Zabir, Syawari dan Nurah sememangnya belum mengerti tentang bahaya dan keseronokkan….

Wednesday, May 21, 2008

"SELAMAT HARI GURU"

Terdapat beberapa perkara yang membuat aku gembira dan sedih dengan sambutan hari guru kali ini. Adapun beberapa perkara yang mengembirakan itu ialah:
1. Dalam acara bowling padang, aku berjaya menjatuhkan satu pin. Memang bunyinya sikit tapi kalau dibanding dengan jumlah peserta, aku masih cemerlang kerana ramai yang tak dapat menjatuhkan walaupun satu pin. Kumpulan aku juara dalam acara ini. Maklumlah buah kelapa tu kan berat.... kalau tak betul-betul kuat balingannya, garisan mulanya pun tak leh lepas. Dan kumpulan kami juga menjadi johan keseluruhan dalam pertandingan pada hari itu. Dapatla... sebuah tupperware yang bukan jenama tupperware yang agak besar cantik.
2. Aku dapat banyak jugak hadiah daripada budak-budak tu. Walaupun aku dah pesan banyak kali. Tak payah bawak hadiah, saya cuma nak dengar ucapan "selamat hari guru dan terima kasih cikgu". Ramai jugak yang bersalam dan cium tangan aku dan ucapkan selamat hari guru.
3. Aku berjaya memaksa gb, gpk1, gpk-ko dan gpk hem mendeklamasikan sajak. Aku terpaksa memaksa mereka kerana tidak ada acara pentas untuk mencungkil bakat-bakat mereka ini. Walaupun pada mulanya gpk1 seolah menolak permintaan ku, tapi aku menyuruhnya dengan tegas sekali. Ternyata dia akur padaku.
Tiga perkara di atas cukup membahagiakan aku pada hari itu. Dan perkara yang menyedihkan aku pulak ialah:
1. Mendengar gpk-ko bersyair mengenai jasa dan pengorbanan guru-guru. Dia nampak begitu teruja mendeklamasikan sajak yang aku berikan, dan tak cukup dengan sajak itu, dia mengalunkan satu rangkap syair yang begitu sedihnya nadanya. Itulah, gpk ko kami yang kuat bekerja dan begitu sporting dalam segala hal walaupun ada kalanya dikritik oleh gb dan gpk1 kami.
2. Tatkala menerima hadiah dari seorang anak yatim. Aku tahu kehidupannya sangat sukar, kadang-kadang duit belanja sekolah pun tiada. Aku menerima hadiah sebuku sabun wangi darinya dengan linangan air mata. "selamat hari guru, terima kasih cikgu" katanya. Aku memeluknya seketikanya dengan rasa terharu...
3. Aku sedih jugak kerana tak sempat bersajak dengan sebuah sajak yang aku karang sendiri kerana masa sudah lewat. Demi memendekkan masa perhimpunan dan mengelakkan murid kepanasan di bawah cahaya matahari, aku terpaksa menyimpan sajak itu untuk tahun hadapan sekiranya masih ada umurku.
Aku selaku pengacara majlis pada hari itu, memohon maaf di atas segala kekurangan yang terdapat sepanjang mengendalikan majlis. "selamat hari guru" kepada semua insan yang bergelar guru.

Saturday, May 17, 2008

Selamat kembali

Ucapan tahniah dan selamat kembali dari tanah suci (mengerjakan umrah) kepada abangku, kakak iparku serta anak-anaknya. Alangkah bertuah anak-anaknya kerana dalam usia tiga hingga sepuluh tahun telah menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah...sedangkan aku yang sudah melebihi suku abad ini, belum mampu untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima itu.
Doa dan harapanku agar abangku sekeluarga sentiasa dilimpahi dengan rahmat dan hidayah dari Allah Taala dalam meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berliku ini...Insya Allah, aku juga akan sampai di sana suatu hari nanti. Insya Allah.

Kak Zan

Sewaktu lapan tahun yang berlalu, aku sentiasa terkenang akan kebaikan pengasuh anakku iaitu Kak Zan. Suami Kak Zan adalah seorang anggota polis di balai polis yang berdekatan dengan tempatku bertugas. Aku memanggil suami Kak Zan dengan panggilan abang Hazri. Pasangan ini mempunyai empat orang anak perempuan. Anaknya semuanya montel-montel, kecuali yang bongsu agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan tiga kakaknya yang lain. Walaupun abang Hazri adalah seorang anggota polis yang berpangkat koperal ketika itu, namun kehidupannya sangat sederhana. Mereka hanya mempunyai sebuah motor yang sudah buruk, tapi enjinnya masih baik dan boleh membawa anakku bersiar-siar di sekitar pekan yang kecil itu. Aku pernah bertanya kenapa abang Hazri tidak membeli sebuah kereta untuk kemudahan mereka sekeluarga pulang ke kampungnya di Perak, Kak Zan memberitahuku bahawa abang Hazri tidak yakin untuk memandu walaupun sudah berpuluh tahun memiliki lesen kereta. Lagipun kata Kak Zan mereka lebih suka menaiki pengangkutan awam.
Kebaikan Kak Zan yang aku maksudkan ialah beliau sangat baik dengan anakkku dan menjaga anakku seperti menjaga anaknya sendiri. Hari cuti pun dia masih nak menjaga anakku. Bila mesyuarat atau kursus yang melebihi waktu kerja pun dia masih menawar diri untuk menjaganya. Kadang-kadang bila susu anakku kehabisan dibelinya sendiri tanpa memaklumkan kepadaku. Bila aku membayar semula harga susu, dia tak pernah mengambilnya. Bukan setakat susu anak, barang permainan, baju dan lain-lain keperluan anakku banyak dibeli dengan duitnya sendiri. Kadang-kadang aku naik malu dibuatnya. Bila nak sambut raya pulak, berbalang-balang kuih dia hadiahkan untukku. Jadi untuk membalas kebaikan beliau yang tidak terhingga itu, tiap kali menjelang raya aku hadiahkan pakaian hari raya untuk beliau sekeluarga, bila balik kampung pulak aku memang tak lupa untuk membeli batik terengganu, telekung sulam, keropok, belacan dan lain-lain buah tangan yang sesuai. Mungkin disebabkan saling menerima dan memberi itulah yang membuatkan hubungan kami tak terputus walaupun lapan tahun sudah berlalu.
Walau bagaimanapun, abang Hazri telah meninggal dunia dua tahun yang lalu akibat serangan jantung. Aku tahu, Kak Zan pastinya melalui saat-saat yang sangat sukar kerana beliau tidak mempuyai sebarang pekerjaan yang tetap. Tetapi atas usaha dan jimat cermat mereka selama ini, abang Hazri telah membeli sebuah rumah tetapi dijadikan rumah sewa dan selepas mendapat sedikit pampasan dan lain-lain imbuhan daripada perkhidmatannya selama ini kak Zan telah membeli tanah dan mendirikan rumah buat dirinya anak-anak berlindung. Dua tahun yang lalu aku mengunjungi Kak Zan dan keluarganya di Chenderiang, Perak untuk mengucapkan takziah di atas pemergian suaminya yang tercinta. Untuk Kak Zan sekeluarga, aku doakan agar hidup mereka sentiasa bahagia dan tabah menjalani segala dugaan dan cabaran. Dan Al Fatihah untuk arwah abang Hazri, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah Taala. Terima kasih atas segala kebaikan yang pernah mereka sekeluarga curahkan untukku.

Wednesday, May 14, 2008

Tunai janji ibu

Seumur hidup ini, seingat aku..aku tak pernah mengirim apa-apa ucapan pada ibu untuk menyatakan selamat hari ibu ke..hari raya ke atau apa-apa hari kebesaran untuk disambut bersama ibu sama ada melalui kad ucapan atau pun sms. Tetapi pada sambutan hari ibu kali ini hatiku tergerak untuk menghantar SMS pada ibu yang berbunyi "Selamat hari ibu,moga dirimu tenang dan tabah dalam menjalani kehidupan..maaf dan ampun atas segala dosa yang dilakukan". Ada rasa sebak dan sayu ketika menulis ayat-ayat tersebut. Seakan ada air mata yang akan terkeluar dari kelopak mataku.. Entah mengapa aku tak pasti..Pada hakikatnya sebelum ini pun aku bukan tidak tahu menghargainya tetapi aku memang jenis selamba..pada hari raya pun kadang-kadang aku terlupa untuk bersalam..yang sebenarnya aku tak boleh bersalam sebab dia akan menangis dan aku pun menangis..aku tak mahulah nanti hari raya mata jadi merah kesan air mata.
Ibu memang terlalu istimewa buatku. Aku kagum dan bangga dengan kemahiran dan kebijaksanaan ibu dalam mengatur urus soal penjagaan dan pendidikan anak-anak sehingga kami seramai dua belas beradik membesar dalam keadaan sempurna, cukup dengan pendidikan dunia dan akhirat.. tetapi kini ibu telah diserang angin ahmar dan hampir enam tahun ibu tidak boleh menguruskan makan minum buat keluarga besar kami. Walaupun pada musim-musim perayaan beliau tetap ingin ke dapur bagi memastikan resepi-resepi kesukaannya tidak berubah rasa...Nasib baiklah dia mempunyai menantu-menantu yang memahami citarasa dia..boleh membantu apa-apa yang patut bagi merealisasikan hidangan kesukaannya.
Pada musim cuti sekolah bulan jun ini, aku bersama adikku telah merancang untuk membawa ibu ke Pulau Lagenda kerana itu adalah janjiku yang belum terlaksana walaupun janji itu dibuat 13 tahun yang lampau. Mungkin ini boleh dianggap sebagai hadiah yang teristimewa untuk ibu pada sambutan hari ibu kali ini. Aku pernah berjanji sewaktu aku belum bekerja lagi, memandangkan ibu teringin benar untuk melihat keindahan Pulau Lagenda itu, walaupun kini pulau itu dianggap sepi oleh sesetengah orang tetapi janji pada ibu tetap ingin ku tunaikan meskipun aku telah lima kali ke sana atas urusan rasmi..
Walau apapun, jauh di sudut hatiku..aku tahu ibu amat menyayangi dan mengasihi aku. Dan aku juga amat menyayanginya seumur hidup ini.. Aku berdoa pada Allah agar memanjangkan usianya kerana aku belum puas untuk menabur bakti padanya..banyak lagi permintaan-permintaannya dan hajat-hajatku padanya yang belum tertunai. Moga Allah terus melindungi dan memelihara kesihatan ibuku...

Sunday, May 11, 2008

Speaking MUET TEST

Rasa macam nak pengsan semasa dalam bilik peperiksaan itu bersama dengan tiga orang calon yang lain. Examiner itu tersenyum panjang bila mendengar aku menghuraikan tajuk yang diberikan. Aku pun dah tak ingat apa butiran yang aku sebut...kalau boleh aku tak ingin mengulanginya lagi kerana untuk melihat examiner itu pun aku dah tak sanggup. Terasa sungguh bodoh aku, tak layak untuk dipanggil cikgu. Tak ada keyakinan diri, tidak mengulangkaji dengan bersungguh-sungguh...Aku rasa inilah satu-satunya ujian yang paling menakutkan aku selepas ujian memandu tiga belas tahun yang lalu. Jika ada cadangan untuk aku meningkat bahasa Inggeris, sudilah berkongsi dengan aku yang kekurangan ini...

Badrul Al Hafiz

Mula-mula aku dengar nama ini terbayang pada fikiranku akan seorang murid yang bijak pastinya...tetapi setelah aku mengenali dan mengajarnya selama tiga tahun berturut-turut aku rasa sedih mengenangkan nasibnya yang tidak berubah-ubah. Kadang-kadang ada rasa putus asa bermain di jiwa. Tetapi setiap kali berhadapan dengannya aku gagahkan semangat untuk terus mengajarnya. Biarlah dia tidak fasih Al Quran asalkan dia boleh membaca ayat atau bacaan dalam solat..tetapi mungkin kerana berat badannya 60kg dengan ketinggian 4kaki pada anggaranku menyebabkan kecerdasannya sedikit terganggu.




Pagi tadi, ketika aku berada di dalam kelas bersebelahan dengan kelasnya, tiba-tiba Badrul muncul memberitahuku bahawa seorang rakannya telah menumbuknya. Lalu aku mencadangkan kepadanya supaya mencampakkan kawannya itu ke bawah (dari tingkat 3). Selepas itu, aku terfikir jika Badrul betul-betul mencampak kawannya ke bawah.... matilah aku. Aku terus berlari dan menjerit memanggil Badrul, " Badrul, awak dah campak Amirul (kawannya) ke bawah?". Kata Badrul, "belum lagi", nasib baik..kalau tidak teruk aku. Aku bukannya malas nak ambil peduli kalau pasal muridku bergaduh, tetapi kadang-kadang tu hal-hal yang begitu remeh-temeh menyebabkan aku rasa letih untuk mengawalnya. Bayangkan kalau dalam masa satu jam waktu pengajaran ada dua atau tiga kali gangguan dari kelas sebelah. Tumpuan aku untuk menerang pada murid pun jadi kurang apatah lagi dengan muridku yang memang suka bermain.. Kesian pada Badrul dan kawan-kawannya kerana guru kelasnya yang juga guru matematik telah disahkan menghidap kanser..jadi dalam bulan ini telah banyak kali mereka terbiar kerana guru yang mengganti pun kadang-kadang tak masuk kelas.




Pernah pada suatu ketika Badrul tidak menyiapkan kerja yang aku berikan, dia berbohong padaku dengan mengatakan bukunya hilang. Aku berikan duit padanya supaya membeli buku baru, tetapi esoknya dia pulangkan semula duitku sebab katanya bukunya sudah dijumpai. Tetapi kali ini buku hilang selama tiga bulan dan dijumpai semula setelah aku mengugut untuk membelah perutnya yang buncit itu...aku sebenarnya hanya mengugut dia. Tetapi ternyata berjaya kerana keesokannya dia membawa buku itu ke sekolah. Kadang-kadang aku terfikir kejamkah aku...? Tetapi sesunguhnya aku teringin sangat-sangat untuk melihat muridku dapat membaca Al Quran dengan fasih, wudu' dan solat dengan sempurna serta fasih membaca jawi. Tetapi entah bila ianya akan menjadi realiti kerana saban tahun aku menerima murid yang semakin lemah dalam penguasaan jawi dan bacaan Al Qurannya...



Tuesday, May 6, 2008

Muet

Rasa sukar untuk melelapkan mata ini. Maklumlah..lusa aku kena menghadapi MUET di sebuah sekolah di Pasir Puteh. Nak buat persediaan pun tiada masa. Tambahan pula minggu ini semua murid ada UBB (ujian bulanan). Minggu lepas aku menghubungi rakanku untuk mengajaknya berbincang mengenai soalan MUET. Patut ke..dia bertanya aku: "eh nak periksa MUET kena study jugak ke?". Hairan aku..aku mendengar dia ketawa. Lucu sangat ke MUET ni. Tadi aku dah cuba speaking sepatah dua kata bersama dengan seorang kawan (teacher) kat sekolah. Tadi macam dah confidence cikit, lusa tak tahu la pulak. Aku kadang-kadang macam faham sangat bila dengar orang bercakap, tapi bila aku nak jawab mulalah rasa macam gelabah, macam semuanya tak kena. Kata adik aku, sebutan aku teruk sangat..keras semacam je. Tapi aku memang teruk pun. Masa SPM dulu aku dapat gred 6 pening...Walau apapun aku akan cuba yang terbaik..LUSA!

Kereta

Di awal perkahwinanku, aku bersama suami tercinta tidak memiliki apa-apa harta melainkan sebuah ikatan perkahwinan yang sah dan segunung cita-cita untuk saling membahagiakan antara kami berdua. Ternyata kami bahagia walaupun tidak punya apa-apa yang berbentuk material. Maklumlah..kahwin pun masa study belum habis, jadi kami saling faham memahami tentang keutamaan dalam sebuah kehidupan. Kami redha dengan apa yang kami lalui walaupun ketika itu hanya menaiki motor buruk ayah untuk ke sekolah bagi menjalani sesi praktikum akhir selama enam bulan. Nasib baiklah sekolah itu hanya lebih kurang lima kilometer dari rumah keluargaku.
Setelah tamat praktikum, kami ditempatkan di sebuah sekolah di Daerah Kota Tinggi, Johor. Bersama dengan sedikit kepayahan kerana tidak mempunyai kenderaan dan juga kewangan untuk memulakan kehidupan di sana, kaki melangkah jua demi sebuah cita-cita dan kehidupan yang lebih sempurna. Berbekalkan dengan sedikit modal yang dipinjamkan oleh seorang hamba Allah yang bermurah hati, kami membeli sebuah motorsikal secondhand dan lebihannya adalah sebagai belanja sementara menunggu gaji yang pertama.
Setelah menjelaskan hutang yang dipinjamkan, lahirlah putera sulungku dengan penuh ujian dan rahmat daripada Allah SWT. Keadaan fizikalnya kurang sempurna jika dibandingkan dengan orang lain yang sempurna sifatnya. Tetapi bagi kami suami isteri, anakku itu terlalu istimewa dan menambah rasa kasih antara kami bertiga. Keadaan tapak kakinya yang terbalik ke atas menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan di hospital bermula dengan usia seminggu. Keadaan alat sulitnya juga tidak sesempurna orang lain tetapi alhamdulillah, dia telah berjaya disunatkan pada usia sembilan tahun tanpa menjalani sebarang pembedahan walaupun pada mulanya doktor mengesahkan satu pembedahan kecil akan dilakukan terhadannya.
Ketika anakku terpaksa menjalani rawatan di hospital pada setiap minggu, barulah terasa bahawa betapa susahnya jika tiada kenderaan untuk berulang alik dengan membawa si kecil ke hospital. Walaupun berat hati untuk membuat pinjaman bagi membolehkan kami untuk membeli sebuah kereta secondhand, namun suamiku terpaksa melakukannya demi kemudahan dan keselesaan si kecil yang kami sayangi..maka sebuah proton saga keluaran pertama iaitu tahun 1986 telah dibeli oleh suamiku pada tahun 1997..memang ia sangat buruk dan harganya pun mahal kerana pada tahun 1997 ekonomi negara masih stabil dan jualan kereta terpakai sangat menggalakkan. Walau apapun, kereta itu juga yang membawa kami sekeluarga berulang alik dari Johor ke Terengganu selama lima tahun..terima kasih JBM3525.
Setelah bertukar ke Negeri Kelantan pada tahun 2001, suamiku telah membeli sebuah kereta secondhand lagi dengan alasan susah untuk membawa anak ke sekolah dengan menaiki motor kerana kami mengajar pada sesi yang berlainan, iaitu aku mengajar pada sesi pagi manakala suami di sebelah petang dan anak pula bersekolah dengannya. Kali ini dia membeli kereta honda civic-ex yang berharga sama dengan harga proton saga yang dibeli dahulu. Ramai kawan-kawanku bertanya, kenapa asyik beli kereta buruk? Susah untukku menjawab kerana suamiku memang suka membeli kereta buruk.
Tujuh tahun berlalu dengan memiliki dua buah kereta secondhand, tiba-tiba pada minggu lepas dia menyuarakan padaku tentang hasratnya untuk berkahwin lagi..katanya dengan dengan seorang janda dari Negara Jepun. Pada mulanya aku terfikir, buang tabiat ke? tapi setahu aku dia bukannya jenis mata kerangjang atau pandai menggoda perempuan. Sejenak aku terdiam sambil berfikir, tiba-tiba aku rasa dapat meneka maksudnya. Aku pun bertanya dengan selamba, apa warnanya? Suamiku pun ketawa terbahak-bahak kerana tekaanku tepat sekali. Katanya, aku pandai membacanya jiwa dia. Mana tidaknya, sudah tiga belas tahun aku menjadi isterinya.
Tetapi hasratnya untuk membeli kereta buruk pada kali ini tidak aku persetujui kerana bagiku, cukuplah dua buah kereta yang dibeli dengan cara terdesak dan terpaksa itu..sebenarnya sesekali aku juga ingin merasa menaiki kereta yang baru demi keselesaan dan keselamatan kami sekeluarga..Aku tidak pasti sama ada dia menurut pandanganku atau tidak tetapi aku sangat-sangat berharap agar dia membatalkan niatnya untuk membeli kereta buruk tersebut.

Friday, March 21, 2008

Seketika Di dalam Bas

Sekian lama aku tidak menaiki kenderaan awam untuk ke sesuatu tempat. Kira-kira sepuluh tahun lebih atau setelah aku mahir memandu sendirian. Tetapi pada hari ini hatiku tergerak untuk menaiki bas ke Kuala Terengganu di samping membiasakan anak aku dengan kenderaan awam. Sewaktu dalam perjalanan bersama anak sulungku, tiba di pertengahan jalan iaitu di Mengabang Panjang (Institut Latihan Perindustrian Petronas), bas yang aku naiki telah berhenti untuk mengambil penumpang yang terdiri daripada beberapa orang pelajar di institut itu. Lebih kurang lima belas orang pada anggaranku. Lima orang daripadanya berbangsa asing, aku tidak dapat meneka kerana rupanya hampir menyerupai wajah-wajah dari Benua Afrika.

Dua orang daripadanya duduk bersebelahan dengan tempat dudukku. Aku melihat bagaimana cara dia berkomunikasi dengan konduktor bas yang kami naiki. Agak susah juga untuk memahami bahasa yang digunakan, tetapi nasib baik konduktor bas itu boleh berbahasa Inggeris. Jadi konduktor bas itu menggunakan Bahasa Inggeris di samping mengunakan gerak isyarat tangan dan cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh pelajar asing itu. Rupanya dia ingin turun di hadapan pasar besar Mydin K. Terengganu dan ingin membuat bayaran untuk tiga orang. Dia membayar dengan wang kertas RM50 kepada konduktor itu. Setelah menyerahkan wang bakinya konduktor itu bergerak ke arah penumpang lain Untuk membuat kutipan tambang yang seterusnya.
Setelah menerima wang bakinya aku melihat pelajar itu mengira-ngira wangnya. Lalu dia pun menunjukkan kepada kawannya dan bercakap-cakap dalam bahasanya tentang duit itu. Dia pun memanggil kawannya yang seorang lagi, yang tempat duduknya agak terkebelakang dari kami, dalam bahasanya juga dia memberitahu mengenai wang itu. Tiba-tiba konduktor itu datang semula ke arahnya dan menghulurkan sekeping wang kertas RM10 dan berkata "sorry". Fahamlah aku bahawa pelajar itu menerima wang baki yang tidak mencukupi.
Setelah sampai di bandar K. Terengganu, anakku memberitahu bahawa pelajar itu berasal dari Sudan dan anakku sempat berbual-bual dengannya. Rupanya anakku telah mendahului aku dalam mencari maklumat dan berkomunikasi dengan orang awam, tidak seperti aku yang masih tidak yakin untuk bertanya tentang sesuatu perkara walaupun perkara semudah itu... Sedangkan anakku baru berumur dua belas tahun dan belajar di tahun enam, sedangkan aku telah setahun bergelar MAHASISWA yang telah berusia...