Wednesday, August 5, 2009

Pisang berbuah dua kali....


Aku pernah menghadapi saat yang menakutkan dalam kerjayaku sebagai guru. Aku masih ingat tiga belas tahun yang lampau iaitu semasa mula-mula aku bertugas, aku pernah tercucuk lubang hidung seorang murid tahun satu hingga berdarah.

Aku tak tahu macam mana tiba-tiba dia tertunduk dan menyebabkan hidungnya tercucuk mata pensil yang berada di tanganku. Hidungnya berdarah, barangkali cucukan itu agak dalam. Aku panik seketika, aku mengelap darah hidungnya dengan tisu. Nasib baik darahnya tak banyak.

Aku langsung tak berniat nak mencederakan lubang hidungnya tapi aku rasa dia terkejut sebab aku meninggikan suaraku kerana dia membaca dengan suara yang sangat perlahan hingga tidak kedengaran di telingaku.. Bila balik rumah aku tutup pintu serapat-rapatnya sebab takut mak bapak dia datang menyerang aku.

Sampai tak lalu makan, dah lama masa tu tengah mengandung anak sulung. Rasa takut sangat nak sentuh pelajar-pelajarku selepas itu. Tetapi nasib baik la, dari hari ke hari, minggu ke minggu, sampai berbulan-bulan aku menunggu, mak bapak muridku itu tak datang-datang menemuiku… Selamat aku..syukur pada Allah kerana telah melindungi aku.

Tapi, hari ini terjadi lagi. Walaupun tak serupa tapi hampir sama. Aku cukup geram dengan muridku yang seorang ini. Namanya ROZAIMI dari kelas 5C. Dalam kelas dia tak banyak cakap tapi kerjanya…aduh menyakitkan hati. Comot dan tidak pernah siap. Tulisannya memang tak boleh dibaca kalau orang itu bukan gurunya…kalau orang itu gurunya, mungkin boleh meneka-neka apa perkataan yang ditulisnya.

Hari ini aku mengajar bacaan-bacaan dalam solat. Sesifiknya ialah bacaan ketika rukuk, “Subhaaanarabbialaziiimi wabihamdih”….. lebih kurangnya begitulah ejaan ruminya. Tapi dia menyebut “wabihandih” pada ayat di belakangnya. Aku telah membetulkannya berpuluh-puluh kali dalam masa satu jam. Bayangkanlah, teruk sangat ke nak tutup mulut pada perkataan mim yang bertanda mati itu….? Kalau dengan ayah aku dah lama kena ketuk kepala rasanya.

Tiba-tiba tanganku terasa ringan menampar pipinya.Prap…!!!. “Aduh sakitnya..” dia pun menangis meleleh-leleh air matanya. Aku rasa taklah kuat sangat pun tamparan itu kalau nak di bandingkan dengan tamparan-tamparan kecil sebelum ini. Rakan-rakannya yang lain pun melihatku dengan rasa tak puas hati. Seorang rakannya berkata padaku: “Ustazah, kenapa tampar dia..? tak tau ke gusi dia bengkak..?”. Aku terkejut. Sebenarnya aku pun dah macam nak menangis bila tengok dia menangis. Hanya tuhan saja yang tau dalam hati aku, betapa aku rasa bersalah padanya.

Aku jadi serba salah. “ La.., awak sakit gigi ke?” Tanyaku. “ Tak, gusi saya yang bengkak”. Aku menyuruh dia menganga mulut untuk memastikan gusinya tak berdarah. Tuhan menyelamatkan aku lagi. Gusinya memang tak berdarah. Aku pun meminta maaf daripada ROZAIMI kerana aku tak tau gusinya bengkak. Kiranya aku tahu…… Tapi sesungguhnya aku menamparnya bukan untuk menyakitkannya, tetapi untuk membetulkan kesalahan dalam bacaannya sahaja. Salahkah akuuuuu……..

Monday, August 3, 2009

Kena Jadi Polis



Setelah satu jam setengah berada di dalam kelas 5 Tekun (5T) suasana tidak boleh dikawal lagi. Mereka seolah-olah sudah tidak nampak lagi aku yang sedang meneliti buku latihan yang telah dihantar oleh sebahagian murid yang telah menyiapkan kerja di meja hadapan. Mereka bersorak-sorak dan bermain robot di belakang kelas.

Lalu aku bertempik sekuat hati aku: “DIAAAM!” Serentak dengan tempikan itu.…muncul seorang guru dari kelas sebelah pintu hadapan dan seorang lagi lagi dari pintu belakang. Mereka juga tersentak bila sempat melihat aku bertempik. Lalu kedua guru itu menghilangkan diri. Mereka menjengah kelas aku mungkin mereka fikir tiada guru ketika itu…

Aku pun memulakan syarahanku: “Mulai dari hari, kamu jangan panggil saya cikgu atau ustazah lagi. Saya tidak layak untuk menjadi guru atau ustazah kamu lagi kerana kamu semua sudah tidak menghormati saya sebagai guru kamu”. Dan bla…bla… panjang berjela-jela.

Suasana diam, aku menyambung semula semakan latihan muridku. Mereka diam kerana muka aku langsung tidak senyum lagi selepas itu. Tiba-tiba ada satu suara yang diajukan kepada aku.

“ Ustazah…kena jadi polis la pulak, sebab nanti senang nak tangkap murid-murid yang perangai jahat nih….” Dalam hati aku macam nak ketawa tapi aku tahan la.. Tergamak dia suruh aku jadi polis. Dia tak nampak ke aku yang aku tengah marah nih…aku tak memberikan respon apa-apa sebab sebenarnya aku macam nak ketawa jugak sebab nada dia tu macam kelakar sangat.

Begitulah rutin harianku dengan muridku. Kadang-kadang macam nak merajuk tetapi tak jadi merajuk sebab mereka tetap bertanya itu dan ini walaupun aku buat muka marah dan sebagainya….Jauh di sudut hatiku, mereka itu seolah anak-anakku sendiri. Marah dan rajukku hanya untuk sesaat cuma, selebih itu adalah hak kegembiraan dan kejayaan mereka.

Kelebihan yang menguntungkan...

Aku telah berbual-bual dengan seseorang mengenai kelebihan dan kekurangan. Lalu dia pun menceritakan tentang seorang kawannya yang mempunyai kelebihan dalam bercakap atau berucap.

Katanya: “ Kadang-kadang sesuatu yang ingin dikhabarkan atau diceritakan itu hanyalah sesuatu yang sangat ringkas dan mudah, tetapi punyalah panjangnya ucapannya berjela-jela. Manakala audien yang di hadapannya begitulah khusyuk mendengar, akhirnya barulah tersedar bahawa isi pentingnya sangatlah sedikit”

Katanya lagi: “ Kadang-kadang orang bercakap itu ibarat menggaul tepung, punyalah lamanya menggaul tepung itu menyebabkan kita mengcongak-congak dalam pemikiran kita tentang apa yang ingin dihasilkan dengan tepung itu. Akhirnya, barulah kita tahu bahawa apa yang dibuatnya iaitu roti canai atau donat dan sebagainya….”

Sebenarnya kelebihan-kelebihan yang sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu cepat dinaikkan pangkat atau dilantik untuk satu-satu jawatan dalam bidang kerjayanya. Senario inilah juga yang berlaku di kalangan rakan-rakan seperjuanganku yang tiba-tiba aku melihat dia menjadi Jurulatih Utama (JU) dalam satu-satu kursus yang dianjurkan oleh jabatan. Sedangkan dari segi kelulusan atau kekananan mahupun senoriti dalam tugasan jauh didahului oleh orang lain, namun kelebihan itulah yang menyebabkan dia terdahulu dinaikkan pangkat atau sebagainya.

Satu lagi kelebihan yang cepat untuk mendapat tempat di hati majikan atau pihak jabatan ialah kepandaian dalam ilmu ICT. Walaupun ramai orang yang boleh menggunakan kelebihan program ciptaan manusia ini, namun tidak ramai yang ingin mendalami atau menggunakan secara maksima dalam tugasan harian terutamanya para pendidik di sekolah kerana kadang-kadang ia tidak sesuai dengan masa yang agak singkat atau proses penyelanggaraan alatan yang agak rumit. Walaupun begitu ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mendalami ilmu-ilmu yang sebegini.

Kesimpulannya, dalam apa jua keadaan kita harus berusaha untuk mendalami tentang sesuatu perkara/ilmu yang baik demi untuk meningkatkan ilmu kita walaupun bukan untuk mendapat perhatian orang lain atau pun majikan kita sendiri.

Ps: (Seseorang itu ialah suami aku…..sebenarnya dia kagum dengan kawan dia yang dah naik pangkat sebab pandai berucap)

Tuesday, July 21, 2009

Lima Ceria (5C)

Sejak aku mula-mula masuk ngajar kat kelas 5C ni, macam-macam perangai pelik yang aku dah saksikan. Ada yang lucu yang amat dan ada yang sangat menyakitkan hati. Tapi sabarlah banyak-banyak...tenangkan fikiran agar darah tinggi tak naik.

Paling depan sekali di bahagian tengah terdapat seorang murid yang paling kecil. Ketinggiannya setakat pinggangku. Tinggiku hanyalah 159cm. Aku tak pasti berapa cm tingginya. Namanya Rasedi, nama yang ku panggil SEDI...orang kecil yang amat tapi suara macam Malik Noor...tadi nangis sampai tak boleh belajar sebab sakit gigi.

Di sebelah SEDI, ada Shafei. Orangnya juga kecil tetapi lebih tinggi daripada SEDI. Panggilan manjanya PIEN. Yang aku paling tak tahan dengan PEIN ialah hidung yang selalu berair. Kata kawanku yang sudah mengajar tujuh belas tahun di situ, sejak dia mengenali PEIN (pada usia enam tahun pada andaianku iaitu di kelas PRA) memang PEIN sudah berhingus dan sampai sekarang. Kawanku membuat andaian dan dia pernah melihat hingus itu telah beberapa kali memasuki mulut PEIN dan mungkin sudah tertelan. Dan pada sangkaanku juga mungkin bahagian otaknya telah dijangkiti kuman merebak ke saluran hidungnya.. Aku berhasrat untuk membawa PEIN berjumpa dengan doktor sekiranya diizinkan oleh ibu bapanya. Tetapi buat masa ini aku teramat sibuk....KIV dulu!

Di bahagian tepi dinding ada Yusri. Orangnya sangat pendiam dan pemalu serta tak tahu apa-apa. Tapi dia boleh menyalin dengan baik dan tulisannya sangat kemas. Dia tak pernah menyakitkan hati aku, tetapi bila aku tenung matanya dan melihat mukanya saling tak tumpah dengan watak IWAN dalam cerita toyol.com.

Di belakang Yusri ada Khairol. Dulu tangan Khairol penuh dengan kudis-kudis seperti kudis buta. Hampir dua minggu aku memberi krim pemberian mertuaku yang memang digunakan untuk merawat kulit yang gatal-gatal untuk disapu oleh Khairol pada tangannya. Setiap hari aku menasihatkan agar pergi berjumpa doktor bagi merawat penyakitnya. Tetapi dia hanya tersengih-sengih...tetapi sekarang aku lihat tangannya sudah sembuh barangkali ibubapanya telah membawa dia mendapatkan rawatan.

Di bahagian belakang (tengah) ada Zulkarnain. Rakannya memanggil NAIN KURAP. Aku memarahi rakan-rakannya yang memanggilnya seperti itu. Sungguh tak sopan gelaran itu, tetapi lama-kelamaan baru aku terperasan mukanya dipenuhi panau yang tebal dan belakang telinganya dipenuhi kurap yang telah berdebu-debu rupanya. Di dalam begku ada tujuh butir pil untuk panau (untuk Radhi anakku sebenarnya, tetapi panau Radhi di belakangnya telah hilang sama sekali dan aku terus lupa untuk memberikan pada Radhi) lalu pil itu aku berikan pada NAIN agar dapat membantu menghilangkan panau di mukanya yang handsome itu.

Dulu NAIN pernah memberitahuku bahawa ayahnya telah meniggal dunia dan aku pun memberikan namanya dalam senarai anak-anak yatim. Tetapi sebenarnya, ayahnya masih hidup cuma dia dikhabarkan oleh ibunya supaya memberitahu ayahnya telah meninggal jika ditanya orang. Ibu dan bapanya telah bercerai dan masing-masing telah berkahwin lain dan NAIN serta seorang abangnya yang juga muridku tinggal bersama neneknya yang hanya seorang tua yang pekerjaannya menanam tembakau di musim tembakau. Aku juga berhasrat untuk membawa NAIN berjumpa doktor kerana aku tahu neneknya sukar untuk membawa NAIN ke hospital atau klinik...tapi aku masih tak sempat, cuma aku berniat untuk membeli krim sapu untuk kurapnya dulu...

Dan ada banyak lagi kisah yang belum sempat dicoret mengenai anak-anak 5 Ceria ini....tunggulah sambungannya jika ada kelapangan.....

Sunday, July 12, 2009

Tiada tajuk

Salam buat semua rakan-rakan pembaca blog. Walaupun tulisanku ini tidaklah begitu ilmiah dan tak de pulak gambar-gambar yang cantik untuk di tunjukkan pada semua tapi terima kasihla kerana ada jugak yang sudi menjengah...

Dah lama sangat tak menulis rasa macam tak tau nak mulakan dengan cerita apa. Sejak mengandung, melahirkan anak dan sekarang tengah sibuk dengan baby yang semakin membesar, maka masa terasa begitu menghambat setiap hari. Tapi jika sempat menulis ni terasa macam ada sedikit keseronokan dan kepuasan di hati. Mungkin jugak kata orang hilangkan tension dan kepenatan menguruskan rutin harian di sepanjang hari.

Walau apapun, dalam entri yang tiada tajuk ini, aku nak kongsi satu pengalaman. Masa dalam pantang anakku asyik berjaga malam, hampir dua bulan waktu tidurku tidak terurus. Bila buat pemeriksaan darah, tekanan darah semakin tinggi sehingga bacaan 140/90. Tak sepadan dengan umurku yang masih muda. Kwa...kwa...

Aku telah diberi ubat untuk mengawal tekanan darah selama dua minggu dan perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan selanjutnya, tapi satu butir ubat pun tidak ku telan dan temu janji dengan doktor pun tidak aku hiraukan sehingga hari ini. Sudah hampir dua bulan ia berlalu selepas aku diberi ubat itu...

Tetapi buat masa ini, anakku tidak berjaga malam lagi. Aku sudah boleh tidur dengan nyenyak. Aku hanya berdoa agar tekanan aku kembali stabil. Bukan tidak ambil kisah pasal kesihatan tapi kadang-kadang kesibukan itu membuatkan kita merasa sentiasa sihat....

Wednesday, February 18, 2009

Kasut Hilang...

Anak sulungku Radhi, baru 3 minggu tinggal di asrama. Tapi macam-macam hal dah terjadi. Minggu pertama setiap hari menelefonku. Suaranya sebak setiap kali bercakap. Kononnya rindu kat ibu la ... Pastu bila aku menjengahnya kat asrama, mula la meleleh air mata bila aku nak balik. Aku pun mula la memandang ke arah lain sebab aku pun macam nak nangis jugak. Sedih la jugak kononnya..

Minggu kedua, dia menelefon lagi. Hari Ahad telefon mintak duit, hari Isnin aku hantar duit, hari Selasa cakap duit hilang tapi hari rabu duit dah jumpa. Jatuh dalam loker je rupanya. Hari Rabu telefon lagi cakap kasut pulak hilang. Hari Khamis, minggu balik kampung. Aku punya la marahnya kat dia sebab dah pesan semua barang-barang simpan dalam loker. Tapi biasa la budak tingkatan 1, mana tahu nak urus barang-barang. Diri sendiri pun tak tau nak urus.

Tapi aku memang tak puas hati pasal kasut tu sebab dia baru pakai sekali. Katanya, ada abang-abang senior yang pinjam tapi tak pulangkan semula. Bila anakku dah jumpa kasut tu, dia ambil je sebab dia memang dah comfirm memang itu kasut dia. Dah la sembunyi kasut kat bawah tangga. Tapi alih-alih malam tu jugak, abang senior tu pergi cari semula Radhi untuk dapatkan kasut tu. Apa lagi budak Radhi tu, beri sajalah kasut tu sebab takut dengan abang senior tu...

Punya la marahnya aku, aku nak jumpa budak tu kat sekolah anakku. Bila balik kampung, pada malam jumaat tu, kebetulan kat rumah ibuku ada buat kenduri doa selamat dan solat hajat maka anakku pun turut sama solat hajat. Pada malam itu dia bertanya padaku:

" Umi, betul ke nak gi jumpa dengan abang yang ambil kasut adi tu?".

Aku menjawab, " Ntah la..dah rasa malas pulak. Lagipun umi nak doa je biar kaki budak tu naik kudis, pastu dia datang jumpa adi dan mintak maaf". Jawabku spontan.

" Adi pun dah solat hajat tadi, adi doa biar Allah bagi balasan yang setimpal padanya". Aku senyum je. Dalam hatiku, baguslah sebab anakku dah boleh berfikir apa yang patut dibuat bila ditimpa musibah.

Tapi betul la, doa orang yang teraniaya memang cepat Allah makbulkan. Semalam aku pergi jumpa Radhi kat asrama, katanya kasut tu dah dapat balik. Abang tu dah pulangkan semula dan dia pun dah mintak maaf dengan anakku.

Apa yang penting bagiku, bukan nilai kasut itu yang menyebabkan aku marah sangat...tapi sikap segelintir pelajar yang tidak berakhlak. Mentang-mentanglah budak tu baru masuk asrama, suka hati dia je nak ambil barang-barang orang. Itu peristiwa di sekolah agama yang pelajarnya terpilih, kalau tingkatan 1 mesti dapat 5A baru dapat belajar kat situ. Kalau PMR nya pulak mesti 8A baru boleh mohon untuk belajar kat situ. Tapi perangai dan akhlaknya....tengoklah....agaknya dunia akhir zaman memang sukar nak cari manusia yang betul-betul berilmu dan mempunyai akhlak yang mulia.

Aku sentiasa doakan agar anakku dapat belajar dengan baik di situ dan mencontohi akhlak-akhlak yang baik sebagai panduan hidupnya di masa-masa akan datang.

Jatuh Dalam Kolam

Tengahari tadi, sedang asyik melayan kerenah nurid-muridku tiba-tiba aku dipanggil oleh rakan. Dia memberitahu bahawa anakku Nurah telah terjatuh ke dalam kolam ikan di tepi makmal sains sekolahku. Setelah memesan apa-apa yang patut pada muridku, aku terus ke bilik guru untuk melihat keadaan Nurah.

Dia menangis teresak-esak bila melihatku. Agaknya dia takut aku memarahinya kerana bermain di tepi kolam. Bajunya basah kunyup, warna memanglah dah bertukar sebab air kolam tu dah jadi warna hijau. Baunya pulak boleh la tahan jugak. Nasib baiklah di kedai sekolah itu ada menjual baju dan seluar sukan untuk murid-murid. Terpaksalah beli jugak kerana aku malas nak pulang ke rumah untuk mengambil pakaiannya.

Seorang kawan bercerita... "Ada ke patut Kak Zu, bila Nurah jatuh dalam kolam tu, pekerja dan tukang yang ada kat tepi bangunan tu buat tak tau aje..masing-masing macam tak ada perasaan nak tolong angkat Nurah naik dari kolam tu. Dah la kolam tu licin dan curam kat tepi, kan susah nak naik dari kolam tu..?" Bebel rakanku.

Aku senyum saja..tak kan nak marah pulak sebab yang salahnya si Nurah tu, suka sangat tengok ikan-ikan yang ada kat dalam kolam tu. Agaknya suka sangat nak tengok ikan sebab tak nampak-nampak jadi dia jengah la dekat-dekat tepi kolam tu.

"Habis tu sapa yang angkat Nurah?" Tanyaku. "Nasib baik Cikgu Sayuti lalu kat situ, dia yang angkat". Jawab rakanku. Walau apapun aku ucapkan terima kasih banyak-banyak pada Cikgu Sayuti sebab dah tolong angkat Nurah yang beratnya 30kg. " Sampai nak rebah rasanya saya..." Kata Cikgu Sayuti bila aku bertemu dengannya selepas itu.

Apa yang aku ingin simpulkan di sini ialah sikap tukang kebun atau pekerja swasta/kerajaan kat sekolah itu memang jenis tak ada perasaan sangat. Jauh lagi kalau bab-bab prihatin macam masalah yang terjadi pada Nurah tadi. Sedangkan tugasnya yang wajib dijalankan di sekolah itu pun mereka tak tunaikan. Ada ke patut tandas murid dibiarkan macam tandas sekolah yang tak ada tamadun. Minggu lepas aku bertugas...sengaja aku memeriksa semua tandas murid kerana nak menyiapkan laporan pada awal minggu ini. Apa lagi, sedap la jugak aku melaporkannya pada pagi ahad tu. Kebetulan ada pegawai dari PPD yang buat pemantauan. Biar dia dengar perkara yang benar mengenai sekolah aku... Untuk pengetahuan semua....semua ada dalam tandas tu, bayangkanlah sendiri sebab aku dah tak boleh nak tulis di sini...loya...!!!

Tuesday, February 3, 2009

Perkara remeh...

Perkara remeh tapi boleh jadi gaduh dengan suami:

1. Bila sampah sudah menimbun tapi dia melengah-lengahkan untuk membuangnya.

2. Bila makanan dibiarkan terdedah sedangkan dia adalah orang terakhir meninggalkan hidangan.

Bila dua keadaan ini berlaku, aku tak boleh senyum dengan ikhlas. Tapi dia macam tak faham-faham walaupun dah berbelas-belas tahun kahwin dengan aku.

Sunday, January 18, 2009

Tanganku berbau..

Minggu ini minggu ketiga persekolahan 2009. Hari ini aku masuk ke kelas tahun 1 bagi menggantikan rakanku yang tidak hadir kerana tidak sihat. Walaupun hanya setengah jam masa yang diperuntukkan namun aku rasa begitu lambat sekali waktu berlalu.

Seorang demi seorang, silih berganti meminta kebenaran untuk ke tandas. Aku yang agak kepenatan hanya menganggukkan kepala sebagai tanda mengizinkan mereka. Tambahan pula aku hanya memantau kerja-kerja mereka yang belum siap. Ada yang menyiapkan huruf ABC, 123 dan huruf alif ba ta. Sesekali aku terpaksa juga memegang tangan mereka untuk membetulkan tulisannya yang agak teruk. Setelah berlalunya setengah jam itu, aku kembali ke bilik guru untuk berehat seketika.

Dalam perjalanan itu, tiba-tiba aku tercium sesuatu yang kurang enak pada tanganku. Bau itu seperti bau tahi. Hairan aku memikirkan..daripada siapa aku dapat bau itu. Nampaknya ada lagi muridku yang belum pandai menguruskan kebersihan diri. Walau apapun, selepas itu nampaknya aku perlu memesan mereka yang ke tandas agar membersihkan tangan mereka dengan sebersih-bersihnya agar ia tidak mendatang masalah kesihatan dan sebagainya.