Saturday, February 16, 2013

Pemergianmu....



 (ENTRI INI TELAH DITULIS PADA 20 MAC 2011)

Semua insan pasti merasa sedih, pilu, kecewa, marah dan sebagainya apabila sesuatu yang disayangi tiba-tiba hilang dengan sekelip mata…walau apapun yang berlaku dalam kehidupan ini, haruslah kita akur bahawa kehidupan dan kematian adalah sesuatu yang pasti dan ianya hanya dipisahkan oleh sedetik waktu sahaja.

Aku juga ingin meluahkan rasa sedih dan pilu yang bersarang di hati ini untuk tatapan semua…aku sangat sedih apabila adikku yang tersayang telah dijemput olehNYA dalam suatu kemalangan yang tidak disangka-sangka apabila kereta yang dipandunya telah berlanggar dengan seekor kuda yang berlari dari arah yang bertentangan dengannya…dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di situ juga dengan kalimah ALLAH…Dia pergi dengan usia yang terlalu muda..apakan daya…ajalnya memang di situ. Kami semua redha dengan pemergiannya dan kemalangan itu hanyalah sebagai penyebabnya sahaja…kami pasrah pada takdir ilahi.

Memang sangat menyayatkan hati dan menyedihkan hati kami seisi keluarga kerana kepulangannya sangat dinantikan walaupun seketika cuma memandangkan ia bertugas jauh di luar negara. Bayangkanlah perasaan seorang ibu yang menunggu kepulangan dengan lauk pauk serta kuih-muih kesukaannya….betapa hancur luluh hati ibu kami..walau apapun ibu bapa kami adalah orang yang sangat sabar dan tabah…bacaan ayat-ayat suci dari ibu dan ayah serta kami semua berkumandang di sisi jenazah beliau berada di rumah ayah dan ibu buat kali yang terakhir…

Berita pemergiannya itu telah kami terima dengan hati sedih, kami adik beradik, ibu bapa, anak dan isterinya, saudara mara, rakan sahabat serta semua yang mengenali dirinya bercucuran air mata mengiringi pemergiannya menghadap ilahi.. Kepulangannya yang tak sempat disambut dengan jabatan tangannya yang mesra serta pelukan rindu terhadapnya. Tapi kami iringi persemadiannya dengan ayat-ayat suci serta doa semoga dia ditempatkan bersama dengan para syuhada’ dan solehin.

Benarlah ujian Allah itu maha berat. Dan sesiapa yang dapat menerima dan menghadapi ujian itu adalah orang-orang yang berjaya. Arwah adikku adalah seorang sangat peramah, periang, pemurah, penyabar, prihatin dan berpendidikan agama dan dunia…beliau adalah sinar…ibarat sebutir permata…penyejuk mata kami…membuatkan kami semua merasa senang dengan kejayaannya, kebahagiaannya bersama anak dan isterinya…dan keprihatinannya terhadap keluarga melebihi segala-galanya malahan mengatasi kepentingan dirinya sendiri…dalam kegembiraan kami mengecapi kebahagiaan dengan kejayaannya inilah Allah telah menguji kami seluruh keluarga dengan pemergiannya..rupa-rupanya Allah ingin melihat sekuat mana kita…setakat mana ketabahan kita…separas mana kepasrahan kita…sejauh mana keredhaan kita…setinggi mana kesyukuran kita…sebanyak mana iman yang kita miliki….?

Lantaran ujian ini, menjadikan aku manusia yang lebih bayak berfikir..mencari dan mencari..mengira dan menghitung…apakah jasaku terhadap ibu bapa, sudah tertunaikah tanggungjawabku sebagai anak, isteri dan ibu…apakah aku manusia yang sombong..adakah aku manusia yang kedekut…sebanyak manakah amalanku yang baik-baik…apakah dosa-dosa yang selalu aku lakukan…sebanyak mana lagi hutangku sesama manusia dan Allah Taala…adakah aku sentiasa bersedia menghadapi saat-saat kematian yang telah hampir atau pun jauh lagi…bermacam-macam lagi persoalan berselirat di dalam pemikiran aku…mudah-mudahan aku menjadi insan yang sentiasa mengingati mati dan bersiap sedia menghadapi kematian…

Tersirat banyak pengajaran dan hikmah yang tersirat di sebalik pemergiannya ini..Terasa akan perasaan sayang kami adik beradik menjadi lebih erat, lebih rapat…saling mengambil tahu dan kepada ibu dan ayah aku rasa lebih menyayangi dan menghargai setiap detik waktu aku bersamanya…aku teringat cerita ibu…arwah minta ibu menghalalkan semua makan dan minum selama hayatnya bersama ibu ketika dia mengiringi ibu di lapangan terbang Islamabad…ketika adalah adalah pertemuan terakhirnya dengan ibu dan ayah serta adik bongsu kami yang melawatnya di sana kerana meraikan kehadiran cahaya matanya yang kedua…walau ayatnya agak pelik namun pada waktu itu ibu langsung tidak menyangka bahawa dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya…dan dia pergi genap tiga bulan selepas pertemuan itu…AL FATIHAH untukmu adikku sayang....

(pemergiannya pada 1 Mac 2011)