Monday, August 3, 2009

Kelebihan yang menguntungkan...

Aku telah berbual-bual dengan seseorang mengenai kelebihan dan kekurangan. Lalu dia pun menceritakan tentang seorang kawannya yang mempunyai kelebihan dalam bercakap atau berucap.

Katanya: “ Kadang-kadang sesuatu yang ingin dikhabarkan atau diceritakan itu hanyalah sesuatu yang sangat ringkas dan mudah, tetapi punyalah panjangnya ucapannya berjela-jela. Manakala audien yang di hadapannya begitulah khusyuk mendengar, akhirnya barulah tersedar bahawa isi pentingnya sangatlah sedikit”

Katanya lagi: “ Kadang-kadang orang bercakap itu ibarat menggaul tepung, punyalah lamanya menggaul tepung itu menyebabkan kita mengcongak-congak dalam pemikiran kita tentang apa yang ingin dihasilkan dengan tepung itu. Akhirnya, barulah kita tahu bahawa apa yang dibuatnya iaitu roti canai atau donat dan sebagainya….”

Sebenarnya kelebihan-kelebihan yang sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu cepat dinaikkan pangkat atau dilantik untuk satu-satu jawatan dalam bidang kerjayanya. Senario inilah juga yang berlaku di kalangan rakan-rakan seperjuanganku yang tiba-tiba aku melihat dia menjadi Jurulatih Utama (JU) dalam satu-satu kursus yang dianjurkan oleh jabatan. Sedangkan dari segi kelulusan atau kekananan mahupun senoriti dalam tugasan jauh didahului oleh orang lain, namun kelebihan itulah yang menyebabkan dia terdahulu dinaikkan pangkat atau sebagainya.

Satu lagi kelebihan yang cepat untuk mendapat tempat di hati majikan atau pihak jabatan ialah kepandaian dalam ilmu ICT. Walaupun ramai orang yang boleh menggunakan kelebihan program ciptaan manusia ini, namun tidak ramai yang ingin mendalami atau menggunakan secara maksima dalam tugasan harian terutamanya para pendidik di sekolah kerana kadang-kadang ia tidak sesuai dengan masa yang agak singkat atau proses penyelanggaraan alatan yang agak rumit. Walaupun begitu ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mendalami ilmu-ilmu yang sebegini.

Kesimpulannya, dalam apa jua keadaan kita harus berusaha untuk mendalami tentang sesuatu perkara/ilmu yang baik demi untuk meningkatkan ilmu kita walaupun bukan untuk mendapat perhatian orang lain atau pun majikan kita sendiri.

Ps: (Seseorang itu ialah suami aku…..sebenarnya dia kagum dengan kawan dia yang dah naik pangkat sebab pandai berucap)

No comments: