Saturday, May 17, 2008

Kak Zan

Sewaktu lapan tahun yang berlalu, aku sentiasa terkenang akan kebaikan pengasuh anakku iaitu Kak Zan. Suami Kak Zan adalah seorang anggota polis di balai polis yang berdekatan dengan tempatku bertugas. Aku memanggil suami Kak Zan dengan panggilan abang Hazri. Pasangan ini mempunyai empat orang anak perempuan. Anaknya semuanya montel-montel, kecuali yang bongsu agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan tiga kakaknya yang lain. Walaupun abang Hazri adalah seorang anggota polis yang berpangkat koperal ketika itu, namun kehidupannya sangat sederhana. Mereka hanya mempunyai sebuah motor yang sudah buruk, tapi enjinnya masih baik dan boleh membawa anakku bersiar-siar di sekitar pekan yang kecil itu. Aku pernah bertanya kenapa abang Hazri tidak membeli sebuah kereta untuk kemudahan mereka sekeluarga pulang ke kampungnya di Perak, Kak Zan memberitahuku bahawa abang Hazri tidak yakin untuk memandu walaupun sudah berpuluh tahun memiliki lesen kereta. Lagipun kata Kak Zan mereka lebih suka menaiki pengangkutan awam.
Kebaikan Kak Zan yang aku maksudkan ialah beliau sangat baik dengan anakkku dan menjaga anakku seperti menjaga anaknya sendiri. Hari cuti pun dia masih nak menjaga anakku. Bila mesyuarat atau kursus yang melebihi waktu kerja pun dia masih menawar diri untuk menjaganya. Kadang-kadang bila susu anakku kehabisan dibelinya sendiri tanpa memaklumkan kepadaku. Bila aku membayar semula harga susu, dia tak pernah mengambilnya. Bukan setakat susu anak, barang permainan, baju dan lain-lain keperluan anakku banyak dibeli dengan duitnya sendiri. Kadang-kadang aku naik malu dibuatnya. Bila nak sambut raya pulak, berbalang-balang kuih dia hadiahkan untukku. Jadi untuk membalas kebaikan beliau yang tidak terhingga itu, tiap kali menjelang raya aku hadiahkan pakaian hari raya untuk beliau sekeluarga, bila balik kampung pulak aku memang tak lupa untuk membeli batik terengganu, telekung sulam, keropok, belacan dan lain-lain buah tangan yang sesuai. Mungkin disebabkan saling menerima dan memberi itulah yang membuatkan hubungan kami tak terputus walaupun lapan tahun sudah berlalu.
Walau bagaimanapun, abang Hazri telah meninggal dunia dua tahun yang lalu akibat serangan jantung. Aku tahu, Kak Zan pastinya melalui saat-saat yang sangat sukar kerana beliau tidak mempuyai sebarang pekerjaan yang tetap. Tetapi atas usaha dan jimat cermat mereka selama ini, abang Hazri telah membeli sebuah rumah tetapi dijadikan rumah sewa dan selepas mendapat sedikit pampasan dan lain-lain imbuhan daripada perkhidmatannya selama ini kak Zan telah membeli tanah dan mendirikan rumah buat dirinya anak-anak berlindung. Dua tahun yang lalu aku mengunjungi Kak Zan dan keluarganya di Chenderiang, Perak untuk mengucapkan takziah di atas pemergian suaminya yang tercinta. Untuk Kak Zan sekeluarga, aku doakan agar hidup mereka sentiasa bahagia dan tabah menjalani segala dugaan dan cabaran. Dan Al Fatihah untuk arwah abang Hazri, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah Taala. Terima kasih atas segala kebaikan yang pernah mereka sekeluarga curahkan untukku.

1 comment:

hanees sabri said...

She sounds very nice.....