Tuesday, May 6, 2008

Kereta

Di awal perkahwinanku, aku bersama suami tercinta tidak memiliki apa-apa harta melainkan sebuah ikatan perkahwinan yang sah dan segunung cita-cita untuk saling membahagiakan antara kami berdua. Ternyata kami bahagia walaupun tidak punya apa-apa yang berbentuk material. Maklumlah..kahwin pun masa study belum habis, jadi kami saling faham memahami tentang keutamaan dalam sebuah kehidupan. Kami redha dengan apa yang kami lalui walaupun ketika itu hanya menaiki motor buruk ayah untuk ke sekolah bagi menjalani sesi praktikum akhir selama enam bulan. Nasib baiklah sekolah itu hanya lebih kurang lima kilometer dari rumah keluargaku.
Setelah tamat praktikum, kami ditempatkan di sebuah sekolah di Daerah Kota Tinggi, Johor. Bersama dengan sedikit kepayahan kerana tidak mempunyai kenderaan dan juga kewangan untuk memulakan kehidupan di sana, kaki melangkah jua demi sebuah cita-cita dan kehidupan yang lebih sempurna. Berbekalkan dengan sedikit modal yang dipinjamkan oleh seorang hamba Allah yang bermurah hati, kami membeli sebuah motorsikal secondhand dan lebihannya adalah sebagai belanja sementara menunggu gaji yang pertama.
Setelah menjelaskan hutang yang dipinjamkan, lahirlah putera sulungku dengan penuh ujian dan rahmat daripada Allah SWT. Keadaan fizikalnya kurang sempurna jika dibandingkan dengan orang lain yang sempurna sifatnya. Tetapi bagi kami suami isteri, anakku itu terlalu istimewa dan menambah rasa kasih antara kami bertiga. Keadaan tapak kakinya yang terbalik ke atas menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan di hospital bermula dengan usia seminggu. Keadaan alat sulitnya juga tidak sesempurna orang lain tetapi alhamdulillah, dia telah berjaya disunatkan pada usia sembilan tahun tanpa menjalani sebarang pembedahan walaupun pada mulanya doktor mengesahkan satu pembedahan kecil akan dilakukan terhadannya.
Ketika anakku terpaksa menjalani rawatan di hospital pada setiap minggu, barulah terasa bahawa betapa susahnya jika tiada kenderaan untuk berulang alik dengan membawa si kecil ke hospital. Walaupun berat hati untuk membuat pinjaman bagi membolehkan kami untuk membeli sebuah kereta secondhand, namun suamiku terpaksa melakukannya demi kemudahan dan keselesaan si kecil yang kami sayangi..maka sebuah proton saga keluaran pertama iaitu tahun 1986 telah dibeli oleh suamiku pada tahun 1997..memang ia sangat buruk dan harganya pun mahal kerana pada tahun 1997 ekonomi negara masih stabil dan jualan kereta terpakai sangat menggalakkan. Walau apapun, kereta itu juga yang membawa kami sekeluarga berulang alik dari Johor ke Terengganu selama lima tahun..terima kasih JBM3525.
Setelah bertukar ke Negeri Kelantan pada tahun 2001, suamiku telah membeli sebuah kereta secondhand lagi dengan alasan susah untuk membawa anak ke sekolah dengan menaiki motor kerana kami mengajar pada sesi yang berlainan, iaitu aku mengajar pada sesi pagi manakala suami di sebelah petang dan anak pula bersekolah dengannya. Kali ini dia membeli kereta honda civic-ex yang berharga sama dengan harga proton saga yang dibeli dahulu. Ramai kawan-kawanku bertanya, kenapa asyik beli kereta buruk? Susah untukku menjawab kerana suamiku memang suka membeli kereta buruk.
Tujuh tahun berlalu dengan memiliki dua buah kereta secondhand, tiba-tiba pada minggu lepas dia menyuarakan padaku tentang hasratnya untuk berkahwin lagi..katanya dengan dengan seorang janda dari Negara Jepun. Pada mulanya aku terfikir, buang tabiat ke? tapi setahu aku dia bukannya jenis mata kerangjang atau pandai menggoda perempuan. Sejenak aku terdiam sambil berfikir, tiba-tiba aku rasa dapat meneka maksudnya. Aku pun bertanya dengan selamba, apa warnanya? Suamiku pun ketawa terbahak-bahak kerana tekaanku tepat sekali. Katanya, aku pandai membacanya jiwa dia. Mana tidaknya, sudah tiga belas tahun aku menjadi isterinya.
Tetapi hasratnya untuk membeli kereta buruk pada kali ini tidak aku persetujui kerana bagiku, cukuplah dua buah kereta yang dibeli dengan cara terdesak dan terpaksa itu..sebenarnya sesekali aku juga ingin merasa menaiki kereta yang baru demi keselesaan dan keselamatan kami sekeluarga..Aku tidak pasti sama ada dia menurut pandanganku atau tidak tetapi aku sangat-sangat berharap agar dia membatalkan niatnya untuk membeli kereta buruk tersebut.

2 comments:

hayat said...

quoted:
"Kali ini dia membeli kereta honda civic-ex yang berharga sama dengan harga proton saga yang dibeli dahulu. Ramai kawan-kawanku bertanya, kenapa asyik beli kereta buruk? Susah untukku menjawab kerana suamiku memang suka membeli kereta buruk."

komen : Honda tu!!:P

WS Zuriati said...

Akak terasa jugak nak bwk kete baru. Kalu nak beli, beli la honda yang baru.. Ha..ha..ha.. dunia belake-lake!